KUALA LUMPUR – Keputusan Pas menghentikan kerjasama dengan Bersatu membuktikan parti itu tidak pernah setia dengan parti gabungan.
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad berkata, kepimpinan Pas sekarang sangat berbeza dengan pimpinan terdahulu kerana hanya memikirkan keuntungan politik semata-mata, bukan menghayati corak politik Islam seperti dijadikan pegangan.
Beliau menyifatkan Pas sudah berulang kali berpecah dengan parti gabungan selepas mendapat manfaat hasil kerjasama, sekali gus tidak mencerminkan imej Islamik yang dizahirkan parti terbabit.
“Selepas kami tinggalkan Pas, parti itu tak pernah setia, jika dulu kita bekerjasama dalam Pakatan Rakyat, bersama bina kekuatan dan berikan kepimpinan kepada PKR, terima (Datuk Seri) Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri ketika itu, tetapi Pas sekarang tidak begitu.
“Pas bergabung dan ambil manfaat, (selepas itu) dia cantas dan ceraikan. Ini berulang berkali-kali, jadi saya rasa biarlah rakyat mengenali Pas sebenarnya hanya cakap saja mengenai Islam, tetapi tak menghayati corak politik Islam yang mengutamakan perdamaian dan manfaat kepada rakyat.
“Ini bukan Pas di zaman Almarhum Tok Guru Nik Aziz (Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat), ini Pas zaman (Tan Sri Abdul Hadi Awang yang memang keras dan pemimpin politik yang lebih utamakan kemenangan dari yang lain,” katanya memetik BH di Kelantan pada Selasa.
Semalam, Pas secara rasmi menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta selepas diputuskan pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dengan mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua parti.
Hadi yang juga Presiden Pas dalam kenyataan, berkata parti itu memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun lalu berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik Pas, atas prinsip penyatuan ummah.
Keputusan malam tadi dilihat satu tamparan buat Bersatu ketika Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengulangi tekad untuk terus memelihara hubungan baiknya dengan Pas dalam Perikatan Nasional (PN).



