KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) sudah memuktamadkan pembahagian kerusi bagi PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pembahagian semua 56 kerusi DUN di Johor antara parti komponen gabungan itu diselesaikan menerusi mesyuarat sekretariat baru-baru ini.
“Saya telah mempengerusikan mesyuarat sekretariat PH dan kita telah memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti-parti PH yang berjumlah 56 kerusi.
“Biasanya, formaliti memuktamadkan itu saya perlu bentangkan semula kepada Majlis Presiden PH kerana saya hanya mempengerusikan sekretariat,” katanya dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) lapor FMT di Putrajaya pada Isnin.
Saifuddin berkata, bagi Negeri Sembilan hanya satu kerusi yang mempunyai tuntutan bertindih antara parti komponen, namun perkara itu sudah diselesaikan.
“Di Negeri Sembilan ada 36 kerusi DUN. Cuma ada satu sahaja kerusi yang menjadi tuntutan bertindih dan itu juga telah kita bereskan.
“Di Johor juga perkara itu telah diselesaikan dalam mesyuarat sekretariat,” katanya.
Beliau berkata, keputusan itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden PH yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapat pengesahan rasmi.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengesahkan, partinya akan bertanding 17 DUN pada PRN Johor, termasuk 10 kerusi dimenangi pada pilihan raya lalu, empat kerusi yang kalah serta tiga kerusi tambahan.
Loke turut berkata, DAP akan mempertahankan semua 11 kerusi dimenanginya di Negeri Sembilan. Beliau bagaimanapun berkata perincian kerusi ditandingi parti itu belum diumumkan kerana rundingan akhir masih berjalan.
Pada 1 Jun lalu, DUN Johor dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN, manakala DUN Negeri Sembilan turut dibubarkan beberapa hari kemudian.



