Pembesar Negeri putus gantung Setiausaha DKU, akan jemput Yam Tuan Besar dan Tunku Besar Seri Menanti ke sidang khas

SEREMBAN – Enam pembesar pemerintah bersama (Co-Ruler) Negeri Sembilan hari ini memutuskan untuk menggantung tugas Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU), Raja Norazli Raja Nordin, serta menubuhkan jawatankuasa khas bagi menguruskan perjalanan Sidang Mesyuarat Khas DKU yang dijadual berlangsung pada 5 Jun depan.

Keputusan itu diumumkan menerusi satu kenyataan media bersama yang ditandatangani Undang Luak Sungei Ujong, Dato’ Klana Petra Dato’ Haji Mubarak Dohak; Undang Luak Jelebu, Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato’ Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Dato’ Sedia Raja Dato’ Haji Abdul Rahim Yassin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri serta Dato’ Shahbandar Sungei Ujong, Dato’ Seri Utama Haji Badarudin Abdul Khalid.

Menurut kenyataan itu, sidang khas berkenaan akan diadakan pada Jumaat, 5 Jun 2026 jam 9 pagi di Balai Rasmi YTM Tunku Besar Tampin bagi membincangkan kemelut pentadbiran dan pemerintahan adat yang didakwa semakin meruncing di Negeri Sembilan.

Mereka mendakwa Raja Norazli gagal mematuhi “perintah dan sabda” majoriti ahli DKU untuk menguruskan panggilan sidang khas sebelum ini.

“Kami sangat murka dan kecewa atas kegagalan Raja Norazli Bin Raja Nordin mematuhi perintah dan sabda Kami selaku Pemerintah Bersama (Co-Ruler) Kerajaan Negeri Sembilan merangkap ahli majoriti Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU),” menurut kenyataan tersebut.

Pembesar adat itu turut menegaskan bahawa DKU bukan milik individu dan tiada mana-mana pihak mempunyai kuasa veto dalam dewan tersebut.

“Kami menegaskan bahawa DKU adalah hak mutlak adat ahli-ahli tetap yang termaktub di dalam Perkara 17 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 sebagaimana amalan adatnya dan bukan milik seorang individu.

“Tiada kuasa veto individu di dalam DKU,” menurut kenyataan itu lagi.

Mereka turut mendakwa semua surat yang dikeluarkan atas nama DKU dengan tandatangan Raja Norazli selepas 17 April 2026 adalah tidak sah kerana dibuat tanpa mandat majoriti ahli DKU.

“Maka segala surat menyurat yang dikeluarkan atas nama DKU dengan tandatangan Raja Norazli Bin Raja Nordin selepas daripada tarikh 17 April 2026 adalah tanpa mandat muafakat ahli-ahli DKU, terjumlah kepada penyalahgunaan institusi dan kedudukan, tidak mengikat dan salah dari segi adat dan undang-undang serta cubaan mengelirukan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan,” kata kenyataan itu.

Bagi menyokong pendirian tersebut, kenyataan itu turut memetik Perkara 17 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang menyatakan DKU mengandungi Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin, Tunku Besar Seri Menanti, Dato’ Shahbandar Sungai Ujong dan ahli-ahli lain yang dilantik.

“Dewan ini akan mengandungi Duli Yang Maha Mulia, Undang Yang Empat serta Tengku Besar Tampin, Tengku Besar Seri Menanti, Dato’ Shahbandar Sungai Ujong dan siapa juga ahli-ahli Melayu lagi yang dilantik dari semasa ke semasa,” menurut petikan peruntukan tersebut.

Dalam kenyataan sama, pembesar adat itu turut menyelar pentadbiran kerajaan negeri termasuk Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri yang didakwa gagal bertindak secara neutral dalam krisis tersebut.

“Kami mensabdakan untuk pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan mengambil pendirian berkecuali dan tidak bertindak ‘lebih sudu dari kuah’ dan ‘ibarat kerbau dicucuk hidung’,” menurut kenyataan itu.

Mereka juga memutuskan untuk menjemput Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara dan Ketua Polis Negara sebagai jemputan serta pemerhati bebas dalam sidang khas tersebut.

Selain itu, pembesar adat terbabit turut menggunakan Perkara 24 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 bagi membolehkan kehadiran individu lain dalam persidangan DKU.

Perkara tersebut menyebut:

“Dewan boleh mempersilakan siapa-siapa hadir dalam persidangan jika difikirkan munasabah orang itu hadir.”

Berdasarkan Perkara 21 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 pula, mereka memutuskan untuk menggantung tugas Raja Norazli serta menubuhkan jawatankuasa khas bagi menjalankan fungsi Setiausaha DKU.

“Dengan mengikut syarat-syarat Perlembagaan ini, Dewan bolehlah menetapkan peraturan-peraturannya dan melantik jawatankuasanya untuk menjalankan kewajipan-kewajipannya,” menurut petikan peruntukan itu.

Menjawab pertanyaan pemberita, Undang Luak Jelebu, Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Maarof Mat Rashad berkata, jawatankuasa khas itu turut akan menjemput Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz ke Sidang Mesyuarat Khas DKU tersebut.

Beliau berkata, jemputan itu dibuat kerana kedua-duanya merupakan anggota DKU sebagaimana diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat