CYBERJAYA, 26 Mei 2026 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melaksanakan beberapa siri sesi libat urus dan perbincangan bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk platform media sosial sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia untuk memperkukuh keselamatan dalam talian serta melindungi kanak-kanak daripada kandungan dan interaksi memudaratkan.
Libat urus ini memberi tumpuan kepada langkah pengurangan dan moderasi proaktif terhadap kandungan memudaratkan dalam talian termasuk bahan penderaan seksual kanak-kanak (Child Sexual Abuse Material – CSAM), penipuan, buli siber dan pelbagai bentuk kemudaratan lain. Perbincangan turut meliputi pelaksanaan langkah pengesahan umur, kawalan ibu bapa, perlindungan akaun dan akauntabiliti platform.
Usaha berterusan ini turut menyumbang kepada penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Online Safety Act 2025 – ONSA) yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2026, dengan memperkukuh penyedia platform dalam menangani kandungan memudaratkan serta meningkatkan keselamatan pengguna di Malaysia. ONSA berfungsi seiring dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dalam memperkukuh langkah keselamatan dalam talian, termasuk perlindungan kanak-kanak, pelaksanaan pengesahan umur dan syarat umur minimum 16 tahun bagi pemilikan akaun media sosial. Langkah-langkah ini bertujuan mewujudkan pengalaman dalam talian yang lebih selamat dan bersesuaian dengan umur bagi golongan muda, dengan penekanan terhadap pengawasan ibu bapa, perlindungan platform yang lebih kukuh serta reka bentuk platform yang lebih bertanggungjawab.
Sehingga kini, MCMC telah melaksanakan 37 sesi libat urus melibatkan penyedia platform, agensi penguatkuasaan, pengesah pihak ketiga dan pelbagai pihak berkepentingan. Daripada jumlah tersebut, enam (6) sesi diadakan sebelum penguatkuasaan ONSA, manakala 31 sesi lagi dilaksanakan selepas akta tersebut berkuatkuasa, termasuk melalui inisiatif Regulatory Sandbox yang memberi fokus kepada kesiapsiagaan pelaksanaan dan langkah pengesahan umur.
Antara inisiatif utama yang dilaksanakan oleh MCMC termasuk lawatan kerja dan perbincangan teknikal di Singapura melibatkan penyedia platform utama. Libat urus tersebut disertai wakil daripada Kementerian Komunikasi, MCMC, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), dengan fokus kepada pencegahan jenayah siber, akauntabiliti platform, pengesahan umur dan moderasi kandungan memudaratkan.
Susulan itu, MCMC telah memulakan inisiatif regulatory sandbox pada Januari 2026 bagi menilai pendekatan pelaksanaan langkah pengesahan umur yang melibatkan agensi kerajaan, platform dan rakan ekosistem pengesahan.
Siri libat urus yang dilaksanakan sepanjang November dan Disember 2025 memberi tumpuan kepada sesi penerangan kepada pihak berkepentingan mengenai skop instrumen subsidiari di bawah ONSA, mendapatkan pandangan serta maklum balas berkaitan pelaksanaan bagi memastikan langkah-langkah yang dicadangkan bersifat praktikal, seimbang dan boleh dilaksanakan, di samping menyokong tahap kesiapsiagaan ekosistem menjelang penguatkuasaan ONSA.
Seterusnya, sesi libat urus yang dijalankan menerusi inisiatif Regulatory Sandbox sejak Januari 2026 memberi fokus kepada penyelarasan pihak berkepentingan berkaitan keperluan pengesahan umur dan kawalan kandungan memudaratkan, selain mengenal pasti pertimbangan operasi, teknikal dan pematuhan bagi menyokong kesiapsiagaan platform sebelum pelaksanaan.



