Hadi sanggah tohmahan Pas parti mullah, anggap pengkritik cakap tanpa ilmu

KUALA LUMPUR – Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang menyangkal dakwaan kononnya Pas mengamalkan mullah.

Menurut Hadi, istilah mullah berasal daripada perkataan Arab, iaitu mawla (yang bermaksud tuan atau pelindung) dan dalam sesetengah masyarakat Islam, istilah ini merujuk kepada sarjana atau ilmuwan agama Islam yang dihormati.

“Para ilmuwan Barat sengaja memomokkan Islam dengan perkataan yang dikiranya memberi gambaran yang negatif, khususnya dalam agenda Islamofobia yang dilariskan pada zaman kini.

“Malangnya, terdapat dalam kalangan umat Islam yang buta terhadap al-Quran terikut sama mencanangkan propaganda musuh terhadap Islam, antaranya jenama mullah dan teokrasi.

“Di Barat, istilah mullah sering digunakan dalam konteks yang diterjemahkan sebagai pendeta Islam atau pemimpin undang-undang dan doktrin Islam yang disamakan dengan istilah paderi atau pendeta dalam agama Kristian,” jelas beliau dalam catatan Minda Presiden Pas pada Selasa.

Mengulas lanjut Ahli Parlimen Marang itu menegaskan, adapun teokrasi digambarkan tidak demokratik kerana menyekat kebebasan, khususnya kepada kaum wanita, serta bersifat anti terhadap perubahan dengan bertopengkan agama.

“Antara ciri-ciri utama sistem teokrasi mengikut istilah barat ialah konotasi politik dan media yang sering dikaitkan secara eksklusif dengan teokrasi, sistem pemerintahan di mana pentadbiran negara dijalankan berdasarkan undang-undang atau hukum agama, dan kekuasaan tertinggi diiktiraf milik Tuhan atau dewa yang ditadbir oleh pemimpin agama.

“Dasar Undang-undang: Perlembagaan dan undang-undang negara berpandukan kitab suci serta nilai keagamaan.

“Pemimpin Kerajaan – pemerintahan biasanya diterajui oleh golongan agamawan (seperti paderi atau sami) atau seorang pemerintah yang dianggap mempunyai autoriti suci.

“Kedaulatan – Kedaulatan mutlak terletak pada Tuhan, sementara manusia pula bertindak sebagai wakil atau pelaksana hukum-hakam-Nya di bumi,” hurai beliau.

Presiden Pas itu berkata lagi, kini, Iran sering dijadikan contoh yang dimomokkan sebagai negara yang mengamalkan teokrasi, iaitu merujuk kepada golongan ulama Syiah yang memegang tampuk kekuasaan atau pengaruh politik.

Manakala katanya,media Barat pula kadang-kadang menggunakan istilah ini secara longgar untuk menggambarkan pemimpin teokratik atau tokoh konservatif Islam.

“Penggunaan istilah ini oleh sarjana Barat (orientalis) sering dikritik oleh ahli akademik Islam. Pengkaji dalam wacana Orientalisme menekankan bahawa Barat sering menggambarkan Timur (termasuk Islam) melalui lensa bias bagi tujuan hegemoni dan politik.

“Dari sudut pandang Islam, pengkategorian seperti ini gagal menangkap kepelbagaian hierarki sebenar institusi keilmuan Islam, di mana istilah spesifik seperti faqih (pakar fiqh), mujtahid, atau alim lebih tepat digunakan berbanding generalisasi istilah mullah.

“Untuk rujukan lanjut mengenai kajian Barat terhadap khazanah ilmu Islam, sepatutnya dikaji daripada rujukan asal Islam (masadir asliyyah), iaitu al-Quran, al-Sunnah dan ijtihad para fuqaha’, mengikut bahasa Arab yang betul.

“Al-Quran menetapkan istilah tersendiri mengikut bahasa dan ilmunya. Allah mentafsirkan urusan politik yang menjadi amanah terbesar kepada manusia yang menjadi salah satu tujuan mereka diciptakan. Kumpulan yang memimpin urusan negara dinamakan ulu al-amr, ditafsirkan dengan ulama’ dan umara’ (para ilmuwan al-din dan para pemimpin) yang tidak ditaati secara mutlak seperti Allah dan Rasul,” jelasnya lagi.

Sementara itu katanya, apabila melibatkan urusan agama dan dunia, dua perkara yang tidak berpisah. Ini bermaksud urusan dunia adalah sebahagian daripada urusan agama yang tidak berpisah, dengan maksud bahawa urusan dunia juga adalah agama kerana urusan dunia juga termasuk dalam fardu kifayah.

“Allah memberikan penjelasan kepada para malaikat bahawa kelebihan yang ada pada manusia ialah ilmu dunia bersama ilmu agama yang tidak terpisah daripada pengertian al-din yang sempurna, berbeza dengan pengertian agama dalam bahasa lain selain bahasa al-Quran. Maka, istilah mullah serta objektif yang dikaitkan dengannya terhadap politik Islam adalah salah dan sesat.

“Bahasa Arab memakai perkataan khilafah, al-mulk, al-imarah, al-sultan (raja) dan al-imamah bagi urusan negara, dan tidak ada perkataan mullah.

“Islam berkonsepkan negara berperlembagaan yang tidak bertuhankan pemimpin bagi mentadbir urusan negara dalam segala aspek politik, ekonomi dan semua urusan bermasyarakat, dengan petunjuk Allah dan kebijaksanaan manusia yang diberikan akal. Bukan sahaja ilmu wahyu, bahkan turut diizinkan juga ilmu akal, pengalaman dan kebijaksanaan manusia.

“Republik Islam Iran memakai perkataan Wilayah al-Faqih, tajdid yang dilakukan selepas Revolusi Islam menukar istilah Wilayah al-Mahdi al-Muntazar )menunggu kelahiran Imam al-Mahdi(, kepada melibatkan para ulama’ yang bertafaqquh yang dinyatakan oleh

“Perkara ini penting supaya ada dalam kalangan mereka itu golongan yang mendalami kefahaman Islam sehingga mampu berijtihad, bahkan syarat yang sama juga dinyatakan oleh mazhab Sunni yang dihuraikan oleh Imam al-Mawardi dalam kitabnya, al-Ahkam al-Sultaniyyah:

“Bukan bermakna menyucikan para ulama’, sebaliknya para ulama dan ilmuwan dilantik kerana kepakaran mereka dalam pelbagai bidang dan lapangan kehidupan manusia,” katanya.

Hadi mengingatkan, Islam berkonsepkan madani hidayah dan islah, bukan madani liberal. Negara Islam berjaya memandu tamadun manusia dengan sempadan agama Allah, menerima semua yang baik dan menolak semua yang buruk berkonsepkan amar ma‘ruf dan nahi munkar.

“Maka, istilah perkataan mullah mengikut teori Barat bukan daripada fiqh siyasi (ilmu politik Islam).

“Membuat kenyataan tanpa ilmu Islam yang sebenar adalah satu pembohongan terhadap Islam serta menyalahi negara Islam yang dijanjikan oleh Allah SWT.

“Dibariskan konsep syura (bermesyuarat) bersama solat dan zakat yang berlainan dengan ideologi teokrasi yang difahami oleh para orientalis yang sesat.

“Maka, Rasulullah SAW seringkali mengadakan mesyuarat dengan para sahabat dalam banyak urusan, termasuk urusan melaksanakan wahyu serta menerima pandangan daripada semua kalangan rakyat. Begitu juga para Khulafa’ al-Rasyidin RA dan raja-raja Islam yang dikekalkan di atas takhtanya apabila masuk Islam.
Para anbiya’ menentang kerajaan diktator yang zalim dan berlagak seperti Tuhan.

“Nasihat itu bagi Allah, bagi Rasul, bagi para pemimpin Islam dan bagi umatnya. Maka, tidak ada yang dinamakan larangan 3R (Race, Religion, Royal) dalam politik Islam. Allah mengharamkan percakapan mengenai Islam tanpa ilmu,” tegasnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat