Dakwaan salah laku seksual guru, JPN Johor tegas, tiada kompromi

JOHOR BAHRU — Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor mengambil perhatian serius terhadap dakwaan salah laku seksual melibatkan seorang guru di sebuah sekolah di negeri ini yang kini tular di media sosial.

JPN Johor dalam satu kenyataan hari ini berkata beberapa laporan polis telah dibuat termasuk oleh pihak sekolah sendiri, sekali gus membawa kepada tindakan reman terhadap guru terbabit bagi membantu siasatan pihak berkuasa.

“JPN Johor memandang serius sebarang dakwaan salah laku seksual melibatkan warga pendidik dan menegaskan bahawa tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana individu yang melanggar peraturan serta menjejaskan keselamatan murid.

“Pihak kami menyeru agar siasatan dijalankan secara profesional dan menyeluruh supaya tindakan undang-undang sewajarnya dapat diambil sekiranya individu terbabit didapati bersalah,” menurut kenyataan JPN Johor hari ini.

Menurut kenyataan itu, sepanjang tempoh siasatan berlangsung, guru berkenaan akan ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah sementara menunggu hasil siasatan lengkap pihak berkuasa.

“Penempatan sementara itu dibuat bagi memastikan kelancaran proses siasatan serta menjaga kepentingan semua pihak yang terlibat.

“JPN Johor akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam memastikan siasatan dapat diselesaikan dengan telus dan adil,” katanya.

Pada masa sama, Jabatan Pendidikan Negeri Johor turut bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memastikan murid yang menjadi mangsa diberikan perlindungan sewajarnya serta kebajikan dan kesejahteraan mereka terus terpelihara.

“Keutamaan kami ketika ini adalah memastikan kebajikan serta kesejahteraan murid yang terlibat sentiasa dilindungi.

“Kerjasama bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat dilakukan bagi memastikan mangsa menerima sokongan dan perlindungan sewajarnya,” katanya.

JPN Johor turut menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang didapati bersalah dalam kes melibatkan gangguan atau salah laku seksual di sekolah.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah melakukan salah laku seksual di institusi pendidikan bawah kelolaan JPN Johor.

“Persekitaran sekolah yang selamat dan kondusif untuk murid akan terus menjadi keutamaan jabatan,” katanya.

Orang ramai yang berhadapan dengan situasi seumpama itu juga dinasihatkan supaya segera membuat laporan polis dan tidak menarik semula laporan tersebut bagi membolehkan siasatan serta tindakan lanjut dapat dijalankan oleh pihak berkuasa.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat