Lepasan UEC, tahfiz mohon program tertentu di IPTA kekal tertakluk dasar dan syarat semasa kerajaan, universiti -MQA

KUALA LUMPUR – Pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan lepasan tahfiz yang memohon kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi program tertentu, khususnya dalam bidang berkaitan bahasa, kebudayaan dan agama, kekal tertakluk kepada dasar semasa kerajaan serta syarat ditetapkan universiti.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, mereka juga tertakluk keperluan wajib bagi calon untuk lulus subjek Bahasa Melayu (BM) dan Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, langkah itu perlu dilihat sebagai intervensi khusus tanpa mengabaikan dasar pendidikan kebangsaan.

“MQA sentiasa menyokong usaha kementerian untuk memperkasa dan memartabatkan SPM sebagai laluan terbaik bagi pelajar Malaysia, terutama bagi tujuan kemasukan ke sektor awam dan institusi pendidikan tinggi tempatan.

“SPM tetap menjadi asas penting dalam sistem pendidikan kebangsaan dan kerajaan tidak pernah mengetepikan kepentingannya,” katanya mengulas keputusan kerajaan membuka laluan kepada pemegang UEC untuk mengikuti program tertentu di IPTA, memetik BH pada Jumaat

Keputusan itu diumumkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Azlinda Azman, baru-baru ini.

Shatar yang juga Pengerusi Teras Nasional Musyawarah Nasional berkata, seperti kemasukan ke semua program dan bidang pengajian, pelajar perlu memahami landskap persaingan dalam permohonan yang lazimnya tidak hanya menilai kelayakan minimum.

Katanya, pada prinsipnya, setiap IPTA punya autonomi untuk menetapkan kriteria kemasukan khusus masing-masing, justeru pelajar aliran pendidikan berkenaan wajar memiliki pencapaian SPM lebih tinggi, bukan sekadar melepasi syarat minimum.

“Ia bagi memperoleh merit lebih baik semasa memohon program berkaitan,” katanya turut memaklumkan pelaksanaan akreditasi MQA adalah berasaskan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) di mana Falsafah Pendidikan Kebangsaan sentiasa mendasari elemen kualiti kerangka terbabit.

“Sebagaimana falsafah berkenaan menuntut pendidikan sebagai satu usaha berterusan termasuk pada peringkat pengajian tinggi, pemupukan semangat kewarganegaraan turut diutamakan menerusi dasar KPT berkaitan Mata Pelajaran Umum (MPU), selain komponen wajib universiti yang ditetapkan berdasarkan aspirasi setiap IPTA,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat