KUALA LUMPUR – Raja boleh menegur dan memberi pandangan kepada kerajaan namun ia perlu dilakukan secara berhemah dan bukan secara terbuka sehingga meletakkan kerajaan dalam keadaan serba salah.
Pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari berkata, dalam konteks demokrasi berparlimen, medan untuk menyalahkan kerajaan adalah di dalam Dewan dan pihak istana tidak harus terperangkap dalam polemik politik.
Menurut beliau, setiap kenyataan perlu dilihat dalam konteks tanggungjawab yang dipikul oleh kerajaan sebagai pihak yang mentadbir negara.
“Dalam konteks demokrasi berparlimen, kita perlu ingat bahawa ucapan kita harus dilihat dalam konteks tanggungjawab.
“Ini menjelaskan kenapa keperluan mengikut nasihat kerajaan itu wujud kerana kerajaan yang bertanggungjawab, bukan istana. Tanggungjawab bermaksud menerima kesan daripada setiap keputusan yang dibuat,” memetik Utusan di Ipoh.
Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Perak mengulas polemik membabitkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu penternakan babi di negeri itu.
Menurut Abdul Aziz, konsep raja berperlembagaan tidak dihuraikan secara terperinci oleh Suruhanjaya Reid sebaliknya hanya menjelaskan konsep tersebut perlu difahami dalam kerangka demokrasi berparlimen.
Katanya, ini termasuk kewajipan menerima nasihat kerajaan yang memerintah kecuali dalam beberapa perkara tertentu seperti agama dan kuasa mengisytiharkan darurat.
“Dalam konteks Malaysia, ada beberapa isu seperti agama yang raja tidak perlu mendengar nasihat kerajaan dan juga kuasa isytihar darurat yang diterima bahawa Agong boleh tidak menerima nasihat kerajaan.
“Hal-hal seperti melantik kerajaan dan membubarkan Parlimen pula memang sudah diketahui umum. Apa yang disaran oleh Suruhanjaya Reid boleh dijadikan panduan bagaimana konsep raja berperlembagaan seperti yang diamalkan di United Kingdom,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak pembangkang juga tidak seharusnya menjadikan titah istana demi kepentingan politik kerana mereka juga bakal berdepan isu sama sekiranya mentadbir kerajaan pada masa depan.
Katanya, polemik yang berlaku ketika ini adalah isu perlembagaan dan bukannya isu kaum atau agama walaupun terdapat pihak cuba mengheret perkara tersebut ke arah berkenaan.
“Kita beri ruang kepada kerajaan negeri dan juga Perdana Menteri dalam isu ini,” katanya.



