TNB perjelas dakwaan 13 tahun tanpa elektrik, permohonan hanya diterima Disember 2025

JERANTUT – Tenaga Nasional Berhad (TNB) tampil memperjelaskan isu tular sebuah keluarga di Kuala Sat, Jerantut yang didakwa hampir 13 tahun hidup tanpa bekalan elektrik, dengan menyatakan permohonan rasmi bagi penyambungan bekalan hanya diterima melalui kontraktor pada hujung Disember 2025.

Menurut TNB, pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada pihak berkaitan pada Januari 2026 bagi membolehkan kerja-kerja penanaman tiang dilaksanakan.

“TNB telah diberi kebenaran untuk meneruskan kerja-kerja penanaman tiang pada 17 Mei 2026. Kerja-kerja telah bermula hari ini, 20 Mei 2026 dan sasaran memulakan tugas penyambungan bekalan pada 24 Mei 2026,” menurut kenyataan syarikat utiliti itu hari ini.

TNB berkata, pelaksanaan kerja di lokasi berkenaan tertakluk kepada pelbagai kelulusan termasuk aspek keselamatan, teknikal, status tanah dan izin lalu.

“TNB mengambil maklum berhubung isu viral tentang permintaan untuk penyambungan elektrik di Kuala Sat, Jerantut, Pahang. Kami memahami keperluan bekalan elektrik sebagai kemudahan asas yang penting kepada kehidupan harian sesebuah keluarga,” katanya.

Kenyataan itu dilihat menjawab dakwaan tular bahawa keluarga terbabit sudah 13 tahun memohon bekalan elektrik tanpa tindakan.

Terdahulu, video memaparkan seorang lelaki bersama isteri dan anaknya memegang plakad bertulis “Ampun Tuanku mohon berhenti sekejap” bagi menarik perhatian konvoi Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menjadi tular di media sosial.

Baginda kemudian dilihat berhenti sebelum mendengar sendiri rayuan keluarga berkenaan yang mendakwa hidup hampir 13 tahun tanpa bekalan elektrik.

Sementara itu, TNB berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan kes seumpama itu dapat diuruskan dengan lebih teratur dan inklusif pada masa hadapan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat