CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengadakan sesi libat urus bersama wakil organisasi masyarakat sivil (CSO) hari ini bagi membincangkan usaha memperkukuh perlindungan kanak-kanak dalam talian serta meningkatkan keselamatan pengguna dalam ekosistem digital negara.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, sesi itu melibatkan 12 wakil CSO daripada 57 organisasi yang dijemput sebagai sebahagian daripada pendekatan terbuka suruhanjaya tersebut untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak berkepentingan.
Antara perkara dibincangkan termasuk cadangan pengesahan umur bagi pengguna bawah 16 tahun, penggunaan mekanisme pengesahan umur serta pembangunan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (Child Protection Code).
Menurut MCMC, inisiatif itu bertujuan mendapatkan pandangan, maklum balas dan cadangan daripada pelbagai pihak dalam usaha memperkukuh pendekatan kawal selia yang lebih menyeluruh, seimbang dan berkesan.
“MCMC mengambil maklum pandangan yang dikemukakan dan akan meneliti secara terperinci setiap perkara yang dibangkitkan termasuk aspek perlindungan data, pelaksanaan teknikal serta implikasi kepada pengguna,” menurut kenyataan itu hari ini.
MCMC menegaskan keutamaan pihaknya adalah memastikan persekitaran dalam talian yang lebih selamat khususnya bagi kanak-kanak dan keluarga.
Selain itu, suruhanjaya berkenaan turut komited memperkukuh perlindungan pengguna melalui pendekatan yang inklusif, praktikal dan berkesan.
Sesi libat urus tersebut turut disertai Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM yang juga ahli Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian, Dr. Farah Nini Dusuki yang menyampaikan pembentangan berkaitan isu keselamatan digital kanak-kanak.
Turut hadir wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada D11, Puan Siti Kamsiah, selain Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian, Tan Sri Dato’ Sri Hasnah Mohammed Hashim dan Timbalan Pengerusi, Datuk Lim Thean Shiang.



