Cyberjaya – Tindakan Israel terhadap aktivis pro-Palestin yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza mencetuskan kecaman antarabangsa selepas tular video memaparkan Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, menghina tahanan terbabit.
Video dimuat naik Ben-Gvir di media sosial menunjukkan puluhan aktivis antarabangsa melutut dengan tangan diikat di belakang badan di sebuah pusat tahanan di Pelabuhan Ashdod.
Dalam rakaman itu, Ben-Gvir dilihat mengibarkan bendera Israel sambil berkata dalam bahasa Hebrew: “Welcome to Israel. We are the masters.”
Rakaman tersebut mencetuskan kemarahan beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Itali, Kanada dan Australia yang menyifatkan layanan terhadap aktivis terbabit sebagai memalukan serta tidak berperikemanusiaan.
Menteri Luar UK, Yvette Cooper, menyifatkan video itu sebagai “adegan yang amat memalukan”, manakala Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, menganggap tindakan Israel terhadap aktivis berkenaan sebagai “abominable”.
Kumpulan hak asasi Adalah yang mewakili aktivis flotila itu berkata seramai 430 peserta dari lebih 40 negara ditahan secara paksa selepas flotila bantuan Global Sumud dipintas tentera laut Israel di perairan antarabangsa berhampiran Gaza.
Penganjur mendakwa tentera Israel melepaskan tembakan, menggunakan meriam air dan melanggar beberapa kapal ketika operasi memintas dijalankan.
Bagaimanapun, Kementerian Luar Israel menafikan penggunaan peluru hidup dan menegaskan sekatan laut terhadap Gaza adalah sah di sisi undang-undang.
Israel turut mendakwa flotila itu hanyalah “gimik propaganda yang membantu Hamas”.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, turut menegur tindakan Ben-Gvir walaupun mempertahankan operasi memintas flotila tersebut.
Menurut Netanyahu, cara Ben-Gvir mengendalikan aktivis terbabit “tidak selari dengan nilai dan norma Israel”.
Flotila Global Sumud membawa sejumlah kecil makanan, susu bayi dan bekalan perubatan sebagai simbolik solidariti terhadap penduduk Gaza yang terus berdepan krisis kemanusiaan akibat perang berpanjangan.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebahagian besar daripada 2.1 juta penduduk Gaza kini kehilangan tempat tinggal dan masih bergantung kepada bantuan kemanusiaan asas.
Perang Gaza tercetus selepas serangan Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan kira-kira 1,200 individu dan menyebabkan ratusan lagi dijadikan tebusan.
Sebagai tindak balas, Israel melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran di Gaza yang menurut kementerian kesihatan dikendalikan Hamas telah mengorbankan lebih 72,000 penduduk Palestin setakat ini.



