Harga barang naik namun ekonomi masih berkembang, kerajaan cuba kurangkan kesan – Tengku Zafrul ingatkan jangan panik

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyeru rakyat Malaysia agar tidak panik dengan kenaikan harga barang yang berpunca daripada konflik Timur Tengah memandangkan ekonomi negara masih berkembang dan kerajaan sedang cuba mengurangkan kesannya.

Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dalam dunia yang bergolak, negara yang kuat bukan negara yang cakap semuanya mudah tetapi negara yang kuat ialah negara yang bersedia awal, jaga harga, jaga perniaga, jaga pekerjaan untuk pastikan ekonomi terus bergerak.

“Ekonomi Malaysia naik, tapi harga barang pun naik. Betul. Ya, harga barang memang ada tekanan untuk naik tahun ini. Tapi puncanya bukan kerana ekonomi Malaysia lemah. Puncanya datang dari luar iaitu konflik Timur Tengah.

“Sekarang kita kena tanya satu soalan penting. Dalam keadaan dunia macam ini, ada dua kemungkinan. Satu, ekonomi naik, harga naik. Dua, ekonomi turun, harga tetap naik. Mana satu yang lebih berat untuk rakyat?

“Kalau ekonomi naik, sekurang-kurangnya kerja masih ada. Perniagaan masih bergerak, pelaburan masih masuk. Orang masih ada peluang tambah pendapatan untuk tampung kenaikan kos.

“Tapi kalau ekonomi turun, harga pula naik. Itu lagi susah. Perniagaan merosot, kerja kurang, pendapatan tersepit, tapi harga barang tetap naik sebab punca dia datang dari luar.

“Rasanya keadaan mana yang lebih sakit pada poket rakyat? Yang kedua kan? Sebab itu bila ekonomi Malaysia berkembang 5.4% pada suku pertama 2026, lebih tinggi daripada jangkaan awal, ini bukan angka kosong. Ini tanda ekonomi kita masuk cabaran global dalam keadaan yang lebih kuat. Rakyat masih berbelanja, pelaburan masih masuk, eksport masih berkembang. Tapi ekonomi yang kuat tak bermaksud kita lepas tangan soal harga barang. Sebab walaupun ekonomi kuat, tekanan harga tetap boleh dirasai rakyat.

“Sebab itu kesan dia tidak boleh dibiarkan jatuh bulat-bulat atas rakyat. RON95 untuk rakyat masih disubsidi melalui budi RM95 pada RM1.99 seliter. Diesel untuk sektor tertentu seperti pengangkutan awam dan barangan pula masih dibantu melalui subsidi bersasar.

“Ini penting sebab bila kos minyak naik, kos lori, kos penghantaran dan kos barang pun boleh ikut naik. Bantuan secara hidup juga diteruskan supaya keluarga yang paling terkesan ada ruang untuk belanja asas. Peniaga kecil pun dibantu. Perniagaan sudah perkenalkan SME Stabilisation Relief Facility bernilai RM5 bilion untuk SME yang terkesan dengan konflik Asia Barat. Dalam bahasa mudah, ini talian hayat cashflow. Sebab kalau perniaga kecil tersepit, nak beli stok susah, nak bayar pekerja susah, nak tampung kos pengangkutan pun susah.

“Akhirnya, tekanan itu boleh sampai juga kepada pengguna. Jadi kita bukan hanya jaga orang yang membeli barang, kita juga kena jaga peniaga kecil yang berada dalam rantaian harga,” katanya.

Tengku Zafrul yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, pada masa sama, pelaburan mesti terus masuk sebab ekonomi bukan setakat harga barang hari ini.

“Kita juga kena jaga kerja, gaji dan peluang untuk esok. Jadi, mesej dia bukan semua ok, jangan risau. Bukan. Mesej dia ialah harga boleh naik kerana tekanan luar.

“Tapi ekonomi kita masih berkembang dan kerajaan sedang cuba mengurangkan kesannya. Minyak disubsidi, bantuan rakyat diteruskan, perniaga kecil dibantu dan pelaburan digerakkan supaya pekerjaan dan pendapatan rakyat tidak terhenti.

“Jadi jangan panik tapi jangan ambil ringan. Dalam dunia yang bergolak, negara yang kuat bukan negara yang cakap semuanya mudah. Negara yang kuat ialah negara yang bersedia awal, jaga harga, jaga perniaga, jaga pekerjaan dan pastikan ekonomi terus bergerak.

“Itu yang kerajaan sedang lakukan sekarang,” jelas beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat