Setpol PM digesa habiskan sisa masa lakukan reformasi bukan lempar tuduhan NGO terima dana asing untuk kritik kerajaan – BERSIH

KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyelar kenyataan Setiausaha Politik (Setpol) Perdana Menteri/Menteri Kewangan merangkap Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kamil Munim yang menggesa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat badan bukan kerajaan (NGO) yang lantang mengkritik Kerajaan Madani terutama dalam isu rasuah dan korupsi.

BERSIH berpandangan bahawa naratif-naratif yang dibawa oleh Kamil dan juak-juaknya adalah seperti radio buruk yang memainkan lagu lama yang sama seperti kerajaan terdahulu yang menuduh BERSIH dan masyarakat sivil yang lain mendapat dana asing untuk mengancam dan menggugat keselamatan negara.

“Tuduh Kamil lagi, pertubuhan masyarakat sivil ini cuba membina naratif dan menggerakkan propaganda atas nama demokrasi dan hak asasi manusia.

“Berbanding menjawab dan mengambil tindakan yang lebih progresif, adil dan telus, Kerajaan Madani melalui suara-suara seperti Kamil yang merupakan Setpol PMX lebih gemar untuk bermain politik dan memusuhi gerakan rakyat daripada menjawab isu yang dibangkitkan oleh gerakan masyarakat sivil seperti Mandiri, BERSIH dan gerakan-gerakan yang lain.

“Berbanding segera mereformasikan institusi melawan rasuah dan salah guna kuasa seperti SPRM, Kerajaan Madani lebih gemar melemparkan tuduhan yang sepele tanpa ada asas yang kuat.

“Berbanding melaksanakan akta pendanaan politik untuk menyelia sumber dana dan perbelanjaan parti dan ahli-ahli politik, Kerajaan Madani lebih suka membungkam dan menginjak pertubuhan masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan yang lantang dan kritikal kepada mereka,” bidas BERSIH dalam kenyataan media pada Isnin.

Tambah BERSIH lagi, sehingga sekarang rakyat masih menantikan laporan siasatan jawatankuasa yang ditubuhkan oleh jemaah menteri untuk menyiasat kes saham Azam Baki.

“Sehingga sekarang tuntutan rakyat supaya isu mafia korporat disiasat melalui satu suruhanjaya siasatan diraja (RCI) yang diketuai oleh tokoh yang terkemuka dan dihormati tidak dilayan oleh Perdana Menteri.

“Isu-isu melibatkan integriti institusi tidak diberikan perhatian yang sewajarnya berbanding penekanan terhadap satu video di Tik Tok yang kini sudah pun dipadam daripada platform tersebut.

“Jika Kamil Munim dan Kerajaan Madani serius tentang kedaulatan dan keselamatan negara, mulakan dulu dengan memperbetulkan kelemahan dalam proses lantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan melaksanakan Akta Pendanaan Politik untuk menyelia sumber dana parti dan ahli-ahli politik, yang secara langsung akan dipilih menjadi wakil rakyat dan menteri yang akan akan mentadbir negara. Kedua-dua reformasi ini masih sirna dan tidak ada hala tuju yang jelas.

“Rakyat akan menilai segala tindak tanduk Kerajaan, terutama pemimpin-pemimpin kanan parti politik yang dahulunya mendendangkan lagu reformasi dan mewajahkan diri mereka sebagai ahli politik yang progresif, namun kini malu alah untuk melaksanakan sebahagian manifesto mereka. Masa semakin suntuk untuk Kerajaan Madani.

“Kami menasihatkan agar Kamil Munim selaku SETPOL PMX dan Ketua AMK menghabiskan sisa masa beliau untuk membawa kerajaan melakukan reformasi bermakna seperti yang dijanjikan dalam manifesto mereka,” selar BERSIH.

Sebelum itu, Ketua AMK Kamil Abdul Munim menggesa, pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh atas dakwaan penyaluran dana asing dipercayai digunakan bagi menggerakkan propaganda politik, operasi tentera siber serta provokasi jalanan di negara ini.

Kamil berkata, perkara itu tidak boleh dipandang sebagai polemik politik biasa kerana melibatkan aspek keselamatan, kedaulatan politik dan kestabilan institusi demokrasi negara.

Katanya, laporan yang tersebar ketika ini mendakwa wujud transaksi kewangan melibatkan sebuah yayasan berpangkalan di Amerika Syarikat, The Tides Foundation kepada syarikat tempatan Mandiri Development Centre Sdn. Bhd. (Mandiri).

Katanya, transaksi tersebut didakwa melibatkan tiga pembayaran keseluruhan lebih RM1.5 juta antara November 2024 dan Jun 2025.

“Maklumat itu juga mendakwa sepanjang 2024 hingga 2025, sebanyak tujuh transaksi berjumlah RM686,729 dibuat terhadap Amir Hariri Abd. Hadi dan beberapa individu lain yang dikaitkan dengan Mandiri.

“Dana itu turut didakwa mempunyai kaitan dengan gerakan politik pihak tertentu termasuk pembiayaan operasi media sosial serta mobilisasi protes jalanan bagi tujuan membina persepsi dan naratif kebencian terhadap kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya dakwaan tersebut benar, ia merupakan sesuatu yang berbahaya kerana Malaysia tidak boleh dijadikan medan eksperimen geopolitik kuasa asing melalui proksi tempatan.

Tambahnya, campur tangan sedemikian bukan sahaja boleh menghakis kedaulatan negara, malah berpotensi menjejaskan kestabilan politik, ekonomi dan keyakinan pelabur.

Sehubungan itu, AMK mendesak Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara Malaysia dan agensi keselamatan berkaitan menjalankan siasatan bebas dan terperinci terhadap semua pihak yang dikaitkan dalam pendedahan tersebut tanpa mengira latar belakang politik.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat