KUALA LUMPUR – Persatuan Profesor Universiti Swasta Malaysia (PPUSM) berjaya menganjurkan Forum dan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Kebangsaan 2026 dengan kerjasama strategik Emerald Publishing.
Acara berprestij itu menghimpunkan kepimpinan universiti swasta, profesor terkemuka, ahli akademik kanan, pembuat dasar, penyelidik serta hampir 100 sarjana Malaysia yang tersenarai dalam kelompok dua peratus Saintis Terbaik Dunia.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim.
Turut hadir Presiden PPUSM, Prof Dato’ Dr Toh Kian Kok serta Pengarah Serantau Emerald Publishing bagi Asia Timur, Wan Yat Seng.
Dalam ucapannya, Prof Toh berkata universiti swasta memainkan peranan semakin penting dalam memacu agenda pendidikan tinggi negara menerusi kecemerlangan penyelidikan, inovasi, pembangunan bakat, keusahawanan dan kerjasama erat dengan industri.
Menurut beliau, universiti swasta kini menjadi rakan strategik negara dalam menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi, melahirkan graduan bersedia masa hadapan serta memperkukuh kedudukan akademik Malaysia di peringkat global.
Beliau turut menegaskan keperluan untuk terus mengiktiraf pencapaian akademik, menghargai penyelidikan yang memberi impak serta memperkukuh kolaborasi antara universiti, industri, kerajaan dan rakan antarabangsa.
Sebagai sorotan utama, PPUSM dan Emerald Publishing turut menyampaikan beberapa anugerah berprestij bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam bidang akademik dan penyelidikan.
Antaranya ialah penganjuran sulung Anugerah Malaysia Top Cited Researcher 2026 bagi kategori Perniagaan dan Pengurusan untuk universiti swasta.
Anugerah itu mengiktiraf sarjana dengan impak sitasi, pengaruh penyelidikan dan keterlihatan antarabangsa yang luar biasa.
Penerima anugerah tersebut ialah Distinguished Chair Prof Ooi Keng Boon dari Universiti UCSI dan Distinguished Prof Lim Weng Marc dari Universiti Sunway.
Emerald Publishing yang diasaskan pada 1967 merupakan penerbit ilmiah global dalam bidang sains sosial dan pengurusan, dengan komitmen terhadap penyelidikan yang memberi impak dunia sebenar.
Melalui kerjasama bersama PPUSM, Emerald Publishing menzahirkan komitmennya menyokong ekosistem akademik Malaysia dengan memperkasa kecemerlangan penyelidikan serta memperluas hubungan antara akademia, industri dan pembuat dasar.
PPUSM turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Timbalan Menteri, Emerald Publishing, universiti terlibat, para sarjana, penyelidik, rakan strategik dan tetamu atas sokongan menjayakan acara itu.
Forum dan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Kebangsaan 2026 disifatkan sebagai pencapaian penting dalam meraikan kecemerlangan akademik Malaysia serta memperkukuh peranan strategik universiti swasta dalam memacu inovasi dan daya saing global negara.



