JOHOR BAHRU – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi isyarat keras kepada UMNO bahawa keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan dibiarkan tanpa tindak balas politik daripada Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi PH itu berkata, sekiranya UMNO memilih jalan pertembungan, PH juga bersedia bertanding di semua kawasan, bukan sahaja di Johor, malah di negeri-negeri lain termasuk Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang dan Pahang.
Menurut Anwar, PH selama ini masih mengekalkan hubungan baik dan harmoni dengan kepimpinan pusat BN-UMNO, namun perkembangan terbaharu di Johor menunjukkan satu isyarat politik yang tidak boleh dipandang ringan.
“Kita tengah dikejutkan dengan keputusan BN-UMNO yang mahu bertanding semua kawasan DUN di Johor. Saya tidak terkejut kerana kita dah pantau. Itu keputusan mereka.
“Sementara ini, kepimpinan pusat masih baik dan harmoni. Tetapi kalau mereka ambil keputusan bertempur di Johor, hari ini PH ambil keputusan menjawab dengan tegas, PH akan bertanding di semua kawasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, hari ini.
Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, pendirian itu bukan terhad kepada Johor semata-mata kerana PH juga bersedia menghadapi pertandingan menyeluruh sekiranya rakan politiknya mula melanggar semangat kerjasama sedia ada.
“Di Negeri Sembilan, kita bertanding semua. Selangor, Pulau Pinang, Pahang, kita bertanding semua.
“Tetapi saya sebut ini, kalau mereka yang mula melanggar, kita tegas. Kalau runding baik, kita orang baik, sabar dan bijak. Kita mahu selamatkan negara ini sebab kita amalkan politik stabil.
“Johor dan Negeri Sembilan, kita lawan semua. Johor sedia? Negeri Sembilan sedia? Lawan tetap lawan,” katanya.
Dalam nada lebih tegas, Anwar turut membayangkan kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan lebih awal sekiranya hubungan politik antara PH dan BN terus diperkotak-katikkan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan ruang rundingan masih terbuka sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
“Dalam tempoh terdekat, saya akan adakan rundingan dengan pimpinan PH, bukan sahaja di negeri ini.
“Tetapi kalau beginilah cara kita diperkotak-katikkan, mungkin PRU seluruh negara diadakan.
“Keputusan tarikh itu Perdana Menteri yang buat, tetapi biarlah kita putuskan bersama. Harus dengar nasihat kawan-kawan juga,” katanya.
Kenyataan Anwar itu dilihat sebagai amaran politik paling jelas kepada UMNO selepas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Sabtu mengumumkan BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN Johor akan datang.
Pengumuman tersebut sekali gus menguatkan lagi desas-desus bahawa PRN Johor mungkin diadakan lebih awal, malah membuka persoalan lebih besar mengenai masa depan kerjasama PH-BN di peringkat negeri dan nasional.



