Rafizi, Nik Nazmi umum ambil alih Parti Bersama Malaysia

PETALING JAYA – Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini secara rasmi mengumumkan pengambilalihan Parti Bersama Malaysia dalam majlis “Pengumuman Hala Tuju Politik” di PJ Performing Arts Centre (PJPAC), Petaling Jaya.

Parti Bersama Malaysia atau Malaysian United Party (Parti MU) merupakan sebuah parti politik kecil yang didaftarkan pada 2 Disember 2016 dan berpusat di Pulau Pinang.

Pengumuman itu dibuat selepas kedua-dua tokoh berkenaan tersingkir daripada arus utama kepimpinan PKR susulan pemilihan parti. Rafizi gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar, manakala Nik Nazmi pula tewas dalam persaingan Naib Presiden PKR serta kalah mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Setiawangsa.

Perkembangan itu turut berlaku selepas beberapa pemimpin dan Ahli Parlimen PKR yang dilihat rapat dengan Rafizi semakin lantang mengambil pendirian berbeza daripada kepimpinan utama parti dalam beberapa isu nasional.

Susulan pengumuman hari ini, beberapa Ahli Parlimen yang dikaitkan dengan kumpulan Rafizi dijangka turut menjadi perhatian sama ada akan menyertai Parti Bersama Malaysia, termasuk Wong Chen (Subang), Rodziah Ismail (Ampang), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), S Kesavan (Sungai Siput), Tan Kar Hing (Gopeng) dan Zahari Hassan (Wangsa Maju).

Selain pemimpin PKR, gerakan politik baharu itu juga dijangka menarik penyertaan beberapa tokoh progresif daripada parti lain. Antara nama yang disebut-sebut ialah Dr Ong Kian Ming daripada DAP, yang merupakan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta bekas Ahli Parlimen Bangi dan Serdang.

Pengambilalihan Parti Bersama Malaysia itu dijangka menjadi platform politik baharu kepada gerakan progresif yang dipimpin Rafizi dan Nik Nazmi, sekali gus membuka lembaran baharu dalam landskap politik negara.-SUARATV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat