Pengumuman hala tuju politik Rafizi bertembung Konvensyen PH bukanlah sabotaj – Saifuddin ucap selamat maju jaya

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad bebas menentukan hala tuju baharu politik mereka selepas ini.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan dua tokoh itu mahu mengumumkan hala tuju mereka serentak pada Konvensyen PH 2026 Ahad ini, juga dilihat bukan suatu tindakan sabotaj.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, ini kerana Rafizi dan rakan lain bebas membuat sebarang pengumuman berdasarkan prinsip bahawa Malaysia adalah negara demokrasi yang menjamin kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

“Rafizi dan kawan lain bebas membuat apa juga pengumuman kerana negara ini adalah negara demokrasi. Kita ada jaminan kebebasan berpersatuan, kebebasan berkumpul dan sebagainya.

“Tetapi kalau kemudiannya tarikh (pengumuman Rafizi) bertembung (Konvensyen PH 2026), saya tak lihat ia sebagai percubaan untuk sabotaj atau sebagainya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni Bersama Menteri Dalam Negeri di Kedah.

Saifuddin berkata, Sekretariat PH sudah lama merancang mengadakan konvensyen berkenaan sebagai sebahagian persediaan awal bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Katanya, PH akan tetap meneruskan agenda yang dirancang terutama membabitkan gerak kerja akar umbi di negeri yang dijangka berlangsung PRN.

“Konvensyen PH ini kita buat perancangan lama, sudah berbulan-bulan kita bincang. Ia adalah permulaan kepada PRN yang kita susun perancangannya dan tumpu kepada mobilisasi kekuatan yang ada pada PH.

“Ia tak akan terkesan hanya dengan satu pengumuman Rafizi. Jadi saya ucapkan selamat maju jaya kepada sahabat saya kalau itu permulaan laluan yang dia pilih, manakala PH akan terus menyelesaikan perkara yang sudah disusun,” katanya menurut Harian Metro di Kulim pada Jumaat.

Semalam, Rafizi menyatakan pengumuman hala tuju politiknya bersama Nik Nazmi pada Ahad ini sebagai sesuatu yang luar biasa dan bukan sekadar pengumuman politik biasa.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, keputusan untuk mengadakan pengumuman secara terbuka serta menjemput orang ramai hadir menunjukkan ia mempunyai signifikan tersendiri.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat