KUALA LUMPUR — Kira-kira 70 peratus cadangan pindaan terhadap Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1966 memberi fokus kepada usaha memperkukuhkan tadbir urus korporat institusi berkenaan selaras dengan keperluan semasa dan perkembangan organisasi itu ketika ini.
Pengerusi MARA, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pindaan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) MARA 2026 itu penting bagi memastikan sistem pentadbiran dan pengurusan organisasi lebih telus, tersusun serta mempunyai elemen semak dan imbang yang lebih berkesan.
Menurut beliau, akta sedia ada dilihat masih berasaskan kerangka tadbir urus lama yang tidak lagi sesuai dengan skala operasi MARA yang kini mengurus aset bernilai kira-kira RM23 bilion selain mengendalikan ratusan institusi pendidikan, pelaburan dan pembangunan usahawan di seluruh negara.
“RUU ini dirangka untuk memastikan wujud pemisahan kuasa yang lebih jelas antara lembaga, pengurusan dan jawatankuasa berkaitan supaya tidak berlaku pemusatan kuasa secara berlebihan kepada mana-mana pihak.
“Dalam konteks tadbir urus korporat moden, institusi besar seperti MARA perlu mempunyai komponen penting seperti jawatankuasa audit, risiko, kewangan dan pelaburan yang berfungsi secara bebas serta efektif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Konsultasi Awam Rang Undang-Undang (RUU) MARA 2026 yang berlangsung di Hotel Premiera, Kuala Lumpur, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, antara cadangan utama dalam pindaan tersebut ialah mewajibkan penubuhan beberapa organ tadbir urus termasuk Jawatankuasa Audit MARA, Jawatankuasa Pelaburan MARA, Jawatankuasa Kewangan dan Tadbir Urus MARA serta Jawatankuasa Risiko MARA.
Katanya, setiap jawatankuasa itu akan memainkan peranan penting dalam memastikan pengurusan kewangan dan pentadbiran organisasi berjalan dengan lebih sistematik, telus serta mengikut piawaian tadbir urus semasa.
“Perincian mengenai komposisi dan fungsi setiap jawatankuasa perlu dinyatakan secara jelas dalam akta bagi mengelakkan pertindihan peranan, kecuaian atau sebarang penyimpangan dalam pengurusan organisasi.
“Langkah ini amat penting kerana pemimpin boleh datang dan pergi, tetapi institusi MARA perlu terus kekal kukuh dengan sistem tadbir urus yang tersusun dan berintegriti,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa struktur akta sedia ada memperlihatkan pemusatan kuasa yang terlalu besar kepada Pengerusi dan Majlis MARA tanpa pemisahan kuasa yang jelas antara lembaga pengarah dan pihak pengurusan.
Justeru katanya, pembaharuan menerusi RUU MARA 2026 dilihat kritikal bagi memastikan MARA terus relevan, berdaya tahan dan mampu berfungsi dengan lebih profesional pada masa hadapan.
Tambah beliau, draf pindaan RUU MARA 2026 itu akan dibawa ke Majlis Jemaah Menteri sebelum dibentangkan di Parlimen untuk kelulusan.



