KUANTAN, – Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menegur Perdana Menteri supaya lebih cermat dalam mengeluarkan kenyataan, khususnya apabila dikaitkan dengan titah Tengku Mahkota Pahang berhubung isu pasir sungai.
Ketua Pembangkang DUN Pahang itu berkata, kenyataan Perdana Menteri dilihat kurang tepat kerana seolah-olah menggambarkan titah Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah tidak mengambil kira realiti ekonomi makro.
Menurut beliau, perkara yang dibangkitkan dalam titah baginda bukan sekadar isu ekonomi, sebaliknya berkait rapat dengan pengurusan alam sekitar, keselamatan rakyat dan kelestarian negeri.
“Banyak sungai di Pahang kini berdepan masalah mendapan pasir yang serius, menyebabkan sungai menjadi semakin lebar tetapi cetek.
“Keadaan ini meningkatkan risiko limpahan air dan banjir, khususnya ketika musim hujan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, kerja-kerja pengorekan dan pendalaman sungai merupakan keperluan mendesak bagi mengurangkan risiko banjir, namun usaha itu memerlukan kos tinggi.
Jelas beliau, cadangan menjual pasir yang dikorek bukan sahaja praktikal untuk menampung kos, malah berpotensi menambah hasil negeri secara sah dan berkesan.
“Malangnya, sekatan Kerajaan Persekutuan terhadap eksport pasir telah menjejaskan usaha ini.
“Tanpa saluran pasaran yang mencukupi, lambakan pasir akan terus berlaku, sekali gus memburukkan lagi keadaan sungai dan meningkatkan risiko banjir pada masa hadapan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru Kerajaan Persekutuan meneliti semula dasar berkaitan sekatan eksport pasir dan memberi ruang kepada negeri seperti Pahang mengurus sumbernya secara lebih efektif.
Katanya, isu pasir sungai perlu dilihat secara menyeluruh kerana ia melibatkan hak negeri, keselamatan rakyat dan keperluan mengurus sumber secara bijaksana.
“Jangan hanya melihat pasir sebagai komoditi ekonomi; lihatlah ia juga sebagai isu keselamatan rakyat dan pengurusan banjir.
“Apabila suara negeri tidak didengar, rakyat akhirnya yang menanggung akibatnya,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata, walaupun pautan kenyataan Perdana Menteri berhubung isu itu telah diturunkan, kenyataan tersebut tetap memberi gambaran kurang tepat.
“Sebagai Perdana Menteri, setiap kenyataan yang dikeluarkan seharusnya lebih cermat, berasaskan fakta dan mengambil kira sensitiviti terhadap institusi diraja,” katanya.



