JOHOR BAHRU, 7 Mei – DAP Johor berpandangan cadangan menambah lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan bukan jalan terbaik untuk memperkukuh sistem perwakilan di negeri itu, sebaliknya menggesa supaya persempadanan semula dilakukan bagi menambah kerusi DUN sedia ada.
ADUN Perling, Liew Chin Tong berkata, beberapa kawasan DUN di Johor kini mempunyai jumlah pengundi yang terlalu besar sehingga mewujudkan ketidakseimbangan perwakilan.
Menurut beliau, terdapat sekurang-kurangnya tujuh kerusi DUN yang mempunyai hampir atau melebihi 100,000 pengundi.
“Daripada mewujudkan ADUN lantikan, lebih baik kita melaksanakan persempadanan semula untuk menambah bilangan kerusi DUN.
“Persempadanan semula adalah pendekatan yang lebih sesuai dan tepat memandangkan ada tujuh kerusi yang mempunyai pengundi hampir atau melebihi 100,000 orang,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik ketika menghadiri sidang DUN Johor hari ini.
Beliau turut menyenaraikan beberapa kawasan yang mempunyai jumlah pengundi besar iaitu N40 Tiram dengan 116,608 pengundi, N41 Puteri Wangsa (127,599), N43 Permas (113,172), N46 Perling (109,210), N48 Skudai (106,497), N49 Kota Iskandar (131,330) dan N42 Johor Jaya (97,298).
Kenyataan itu dibuat ketika Kerajaan Negeri Johor membentangkan usul pindaan bagi membolehkan pelantikan lima ADUN lantikan di DUN Johor.
Cadangan tersebut sebelum ini mencetuskan pelbagai reaksi termasuk kebimbangan bahawa langkah itu boleh menimbulkan persoalan berkaitan mandat demokrasi kerana wakil yang dilantik tidak dipilih secara langsung oleh rakyat melalui pilihan raya.
Bagaimanapun, kerajaan negeri mempertahankan cadangan itu sebagai usaha memperkukuh sistem pentadbiran dan melengkapkan representasi dalam Dewan Undangan Negeri.



