KUALA LUMPUR – Pas Selangor menyeru semua pihak agar menghentikan polemik yang boleh menghakis rasa hormat terhadap institusi Raja serta kembali memberi tumpuan kepada penyelesaian isu rakyat.
Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata, Pas Selangor menyambut baik kenyataan Ahli-Ahli Dewan di-Raja Selangor berhubung peranan dan tanggungjawab Sultan Selangor sebagai Raja Berperlembagaan.
“Kenyataan tersebut memperjelaskan kedudukan institusi Raja yang bukan sekadar simbol, bahkan berperanan sebagai semak dan imbang demi memastikan kepentingan rakyat sentiasa terpelihara selaras dengan Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959.
“Pas Selangor berpandangan bahawa sebarang titah, nasihat dan teguran Sultan hendaklah diterima dengan penuh hormat, adab dan tanggungjawab oleh semua pihak tanpa dipolitikkan atau disalah tafsir.
‘Institusi Raja merupakan tiang seri kestabilan negeri dan negara yang wajib dipertahankan bersama,” katanya.



