14 Adun BN di Negeri Sembilan wajar akur ketetapan mesyuarat Umno-PH, perlu sokong Kerajaan Perpaduan – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Adun Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar perlu akur dengan persetujuan dan ketetapan dicapai hasil Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Umno-PH, semalam.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, beliau juga positif bahawa 14 Adun BN berkenaan akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.

“Itu adalah pertemuan Biro Politik Umno diketuai oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Biro Politik PH diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ia (perjumpaan antara) Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dan telah pun diumumkan keputusan mereka.

“Apabila sudah ada keputusan, tentulah perhubungan (Umno) Negeri Sembilan kena akur terhadap apa juga keputusan yang telah dibuat oleh dua-dua badan tertinggi kedua-dua parti,” katanya kepada pemberita, lapor BH di Seremban pada Rabu.

Ahmad berkata, Adun BN di Negeri Sembilan perlu mengambil kira kestabilan pentadbiran negeri dan Kerajaan Perpaduan dengan mengetepikan isu hilang keyakinan terhadap kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar.

“Saya fikir mereka akan taat kepada keputusan itu, bahawa terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.

“Sama ada mereka masih yakin atau tidak kepada Menteri Besar, itu satu perkaralah. Tetapi dari segi kestabilan negeri, perlu disokong terus Kerajaan Perpaduan.

“Hal-hal mengenai institusi adat itu biarlah pihak yang berkaitan itu menyelesaikan,” katanya.

Ditanya tindakan Umno jika semua Adun berkenaan masih tegas dengan pendirian yang dinyatakan sebelum ini, beliau yakin mereka yang terbabit akan akur dengan keputusan dicapai dalam pertemuan semalam.

“Saya kira mereka akan akur. Pada pandangan saya secara positif, saya kira mereka akan akur,” katanya.

Media semalam melaporkan Umno dan Pakatan Harapan (PH) sepakat untuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Ia antara tiga persetujuan dan ketetapan dicapai hasil Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Umno-PH yang dipengerusikan bersama Anwar dan Zahid, petang semalam.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat