KUALA LUMPUR – Cadangan pemimpin muda DAP untuk membangunkan model ‘ekonomi-konsert’ dilihat amat dangkal, mencerminkan pemikiran yang sempit, langkah ke belakang.
Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman mengingatkan, sektor pelancongan sewajarnya mempamerkan keindahan alam, keunikan budaya, serta keunggulan bakat yang banyak terdapat di negara kita.
“Ekonomi-konsert -berhibur tiada salahnya, kerana hiburan itu indah namun hanya apabila salah memilihnya membuat kita jadi bersalah.
“Ini adalah petikan lirik lagu “Mari Berhibur” oleh kumpulan nasyid popular, Raihan.Hiburan, tiada salahnya. Konsert, ada batasnya,” katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden Pas berkata, dari Perlis hingga ke Sabah, Malaysia mempunyai 1001 elemen pelancongan untuk ditawarkan (leisure, cultural, heritage, eco, wellness, business, sports, medical); secara lestari dan tersendiri.
“Maka tidak wajar aktiviti pelancongan mengundang budaya ‘hedonisme’, konsert liar, mabuk, dadah, serta aksi ‘erotik’ melampau; yang banyak berlaku di tempat mereka.
“Di sebalik hasil yang dikaut, terselindung kos kesihatan, keselamatan, ketenteraman, dan ‘kos ekonomi’ yang akhirnya terpaksa ditanggung oleh masyarakat serta negara.
“Malah timbul persoalan, mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri tidak hadir, walaupun sebelum itu dijadualkan merasmikan acara penutup pesta air tempoh hari.
“Termasuk angka jutaan ringgit yang dicanang, tidak dapat disahkan (unverified). Jangan sampai mengejar untung secupak, akhirnya rugi segantang,” katanya.
Menurut Syahir, sekira-kira pertimbangan kami, cadangan DAP ini lebih banyak membawa kesan negatif (mudarat) terhadap negara, institusi keluarga, dan generasi muda.
“Sayugia bagi mengelakkan polemik ini terus berlarutan, moleklah perkara ini diperdebatkan secara terbuka.
“Cadangan tajuk: “Ekonomi-Konsert: Membina atau Meruntuh Negara?”
“Bro DAPSY, ada berani? soal Syahir.



