KUALA LUMPUR – Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun mengesahkan tiada sebarang rundingan dengan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) atau pembangkang berhubung kemelut politik yang berlaku di Negeri Sembilan.
Tegasnya, setakat ini kerajaan minoriti pimpinannya berjalan seperti biasa bagi memastikan keperluan rakyat didahulukan.
“Setakat ini, saya tak ada bincang dengan 14 Adun (BN yang menarik sokongan), malah ketika hari kejadian, saya ada cuba hubungi beberapa Adun untuk mengesahkan, tapi semua tutup telefon.
“Terbaharu, belum ada lagi, sebab mereka dah tarik sokongan, tak nak berkawan dengan saya, kata dah ceraikan saya dan saya belum ada maklumat lagi (berhubung) dakwaan ada Adun Umno nak rujuk,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Exco di Seremban, pada Rabu.
Beliau mengulas mengenai dakwaan ada beberapa Adun Umno dikatakan membuat pusingan U bagi menyatakan sokongan kepadanya.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, beliau akan terus menjalankan tugasnya mentadbir kerajaan negeri sehingga ada satu keputusan lain dibuat.
“Jadi maknanya kerajaan minoriti ini akan diteruskan sehingga satu keputusan lain dibuat, saya serah kepada kuasa Tuanku, kalau tiba masa kata kerajaan yang ada ini setakat ini, (jadi) setakat inilah, dan saya juga diminta Presiden (PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk teruskan (tugas) sehingga satu masa sesuai dapat kata putus,” katanya menurut Harian Metro di Seremban.
Ditanya mengenai gesaan pelbagai pihak supaya diadakan Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menentukan keabsahannya sebagai Menteri Besar, Aminuddin berkata, perkara itu tidak dibincangkan pada mesyuarat Exco.
“Sidang DUN khas, saya tak dapat maklumat, kita tak ada bincangkan, itu kena dibincangkan (terlebih dahulu), (perlu dapatkan) kelulusan Tuanku, perkara terbabit harus melalui prosedur,” katanya.
Sementara itu, Aminuddin ketika diminta mengulas kenyataan pemimpin Umno bahawa krisis perlembagaan menjadi punca BN menarik sokongan terhadapnya, beliau berkata, ia sekadar pandangan mereka.
“Saya rasa itu pandangan mereka, sebab kita lihat bahawa ini institusi adat yang patutnya kerajaan negeri berkecuali, cuma kita boleh menasihati. Tapi kita ada had kita, sebab kuasa ini kuasa mengenai adat, mengenai raja,” katanya.



