TVET PUO buktikan nilai global di YMAC 2026, pacu daya saing modal insan ASEAN

Oleh Zihan Zari

IPOH – Penyertaan lima pelajar Politeknik Ungku Omar (PUO) dalam Youth Model ASEAN Conference (YMAC) 2026 di Singapore Polytechnic baru-baru ini memperlihatkan bagaimana Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini berfungsi sebagai pemacu strategik pembangunan modal insan berkemahiran tinggi yang relevan dengan keperluan ekonomi serantau.

Dalam landskap ekonomi yang semakin dipacu oleh inovasi, kelestarian dan integrasi ASEAN, graduan TVET tidak lagi dilihat sebagai tenaga kerja teknikal semata-mata, sebaliknya sebagai penyumbang kepada wacana strategik melibatkan isu makroekonomi dan rantaian nilai industri.

Daripada Kemahiran Teknikal kepada Nilai Ekonomi

Sepanjang persidangan 7 hingga 10 April itu, delegasi PUO terlibat dalam perbincangan berimpak tinggi meliputi tema seperti ‘Enhancing ASEAN Green Connectivity’ dan ‘Harnessing the Silver Wave’.

Ianya merupakan dua agenda utama yang berkait rapat dengan pertumbuhan ekonomi mampan dan perubahan demografi serantau.

Delegasi PUO telah menampilkan pendekatan berteraskan penyelesaian yang menghubungkan kemahiran teknikal dengan keperluan industri masa depan, termasuk aspek inovasi hijau, mobiliti tenaga kerja dan kebolehsuaian (adaptability) dalam ekonomi digital.

Sorotan utama adalah pembentangan oleh Sharlene Tabitha Stephen (Jabatan Kejuruteraan Elektrik PUO), yang mewakili kumpulan membentangkan dapatan kepada delegasi antarabangsa.

Keupayaan ini mencerminkan kesiapsiagaan graduan TVET dalam persekitaran profesional global yang menuntut kemahiran komunikasi strategik dan pemikiran kritikal.

Isyarat Kukuh kepada Industri

Kejayaan melepasi pemilihan antarabangsa yang kompetitif ini memberi isyarat jelas kepada industri bahawa graduan PUO memiliki kelebihan kompetitif – bukan sahaja dari segi kemahiran teknikal, tetapi juga dari aspek pendedahan global, kepimpinan dan keupayaan menyumbang kepada penyelesaian berimpak tinggi.

Ketua Delegasi, Nor Fadzlinda Ishak, menegaskan bahawa penyertaan ini merupakan pelaburan jangka panjang dalam pembangunan ‘Bakat Global’ yang mampu memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai ekonomi ASEAN.

TVET sebagai Pemangkin Pemimpin Masa Depan

Dalam pada itu, Pengarah PUO, Dr. Hjh. Salmi Che Meh, berkata pencapaian ini mencerminkan transformasi TVET sebagai platform pembangunan modal insan berimpak tinggi.

“Penyertaan dan kejayaan pelajar PUO di YMAC 2026 ini membuktikan bahawa pendidikan TVET bukan sahaja melahirkan tenaga kerja mahir, tetapi juga pemimpin masa depan yang berupaya berfikir secara strategik, berdaya saing dan mempunyai perspektif global.

“Saya amat berbangga melihat pelajar kita mampu berdiri sebaris dengan delegasi antarabangsa serta menyumbang kepada perbincangan isu-isu serantau yang mencerminkan kualiti pendidikan PUO yang selari dengan keperluan industri masa kini, ”katanya.

“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih ramai pelajar untuk meneroka peluang global dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya lagi.

Turut serta, Rahmah Wani (Jabatan Kejuruteraan Mekanikal); Ahmad Rifqi Ahmad Bukhari (Jabatan Perdagangan); Nurul Ain Syafiah Mohd Iqbal (Jabatan Perdagangan); dan Sharran Raj A/L Devaraju (Jabatan Perdagangan). – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat