KUALA LUMPUR, – Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan serangan siber kini berupaya menggugat kestabilan sesebuah negara tanpa sebarang amaran, sekali gus mengubah landskap keselamatan global yang semakin kompleks.
Beliau berkata, ancaman masa kini tidak lagi tertumpu kepada bentuk fizikal semata-mata, sebaliknya melibatkan gangguan digital, manipulasi maklumat serta penggunaan teknologi sebagai senjata yang mampu melemahkan institusi dan masyarakat secara senyap.
“Ancaman hari ini tidak lagi bersifat konvensional. Dengan gangguan digital dan penggunaan AI, sesebuah negara boleh digugat tanpa sebarang amaran. Kita tidak boleh kekal berdiam diri. Kita mesti bertindak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan utama sempena forum “AI and Cyber Security as the Vanguard of Digital Defence” anjuran Universiti Pertahanan Nasional Malaysia bersempena pameran Defence Services Asia (DSA) & NATSEC Asia 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Dalam ucapannya, beliau berkata masa depan peperangan kini semakin bersifat asimetrik, di mana kekuatan tidak lagi diukur berdasarkan saiz atau keupayaan ketenteraan semata-mata, sebaliknya bergantung kepada inovasi dan kebolehsuaian sesebuah negara.
“Kuasa hari ini ditentukan oleh keupayaan untuk berinovasi dan menyesuaikan diri. Teknologi seperti AI dan keupayaan siber kini menjadi komponen penting dalam peperangan moden,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan untuk Malaysia memperluas kesiapsiagaan pertahanan melangkaui domain tradisional kepada domain siber dan elektromagnetik, selaras dengan kerangka yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.
Dalam pada itu, Khaled berkata, pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan dan keselamatan siber, perlu diperkukuh bagi memastikan negara mempunyai kepakaran mencukupi dalam menghadapi ancaman baharu.
Katanya, institusi seperti Universiti Pertahanan Nasional Malaysia perlu memainkan peranan penting dalam melahirkan pemimpin dan pakar yang bukan sahaja mahir dalam teknologi, tetapi juga memahami dimensi strategik dan etika peperangan.
“Teknologi mesti dipandu oleh kebijaksanaan dan tanggungjawab. Kita bukan sahaja perlu membangunkan keupayaan teknologi, tetapi juga memastikan ia digunakan secara beretika,” katanya.
Pada masa sama, beliau menggesa usaha memperkukuh keupayaan teknologi tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar, termasuk melalui kerjasama strategik antara kerajaan, industri dan institusi akademik.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa pendekatan baharu sedang dirangka bagi memastikan pembangunan ekosistem pertahanan negara dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk memperkukuh hubungan antara sektor pertahanan dan universiti.
“Kita mahu penyelidikan dan pembangunan pertahanan tidak bergerak secara terasing. Hubungan dengan universiti perlu lebih strategik, tersusun dan jelas,” katanya.
Beliau turut mencadangkan penubuhan pusat inovasi pertahanan di institusi pengajian tinggi terpilih, dengan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia berpotensi menjadi hab kecemerlangan dalam bidang kecerdasan buatan dan teknologi pertahanan masa hadapan.- SuaraTV



