JPA perkasa nilai teras penjawat awam melalui seminar ‘Sejenak Bersama ’

Oleh Zihan Zari

SUNGAI PETANI – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju pembangunan modal insan sektor awam melalui penganjuran Seminar Sejenak Bersama Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul yang telah berlangsung di Dewan Bankuet Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), dekat sini, baru-baru ini.

JPA dalam kenyataan berkata program berimpak tinggi ini dilaksanakan melalui Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Utara (INTURA) dengan kerjasama strategik Parlimen Malaysia, Kerajaan Negeri Kedah, MPSPK, yang mengangkat tema ‘Kepimpinan, Jati Diri, Keberkecualian dan Profesionalisme Penjawat Awam’.

“Seminar yang berlangsung sehari ini menghimpunkan lebih 1,900 penjawat awam dan kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam termasuk Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Hj. Abdul Aziz; Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri Zon Utara serta pengurusan tertinggi JPA, sekali gus mencerminkan komitmen bersepadu dalam memperkukuh keupayaan tadbir urus negara.

“Sebagai institusi teras pembangunan kompetensi penjawat awam, JPA melalui INTAN terus memperkasa platform wacana strategik seperti ‘Sejenak Bersama’ yang dijenamakan semula daripada INTAN Minister’s Conversation (IMC).

“Inisiatif ini bukan sahaja memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi, malah menjadi medium penting dalam memperkukuh dialog dua hala antara kepimpinan negara dan penjawat awam, ”kata kenyataan itu.

Katanya, melalui penglibatan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, seminar ini memperkaya perspektif peserta dengan dimensi kepimpinan legislatif, sejajar dengan usaha JPA untuk melahirkan penjawat awam yang berfikiran strategik, berintegriti dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran semasa.

“Dalam landskap pentadbiran yang semakin kompleks, JPA menegaskan bahawa nilai kepimpinan, jati diri, keberkecualian dan profesionalisme merupakan asas utama kepada keutuhan institusi serta keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan awam.

“Cabaran global seperti ketidaktentuan geopolitik, tekanan ekonomi dan isu sumber tenaga menuntut penjawat awam untuk bertindak secara lebih anjal, berstrategi dan berdisiplin tinggi.

“JPA terus komited memastikan penjawat awam kekal berpaksikan nilai, berfikiran objektif dan melaksanakan amanah dengan penuh integriti selaras dengan Perlembagaan, undang-undang dan dasar kerajaan, ”katanya lagi.

Ujarnya, penganjuran seminar ini turut mencerminkan kekuatan pendekatan keseluruhan kerajaan (whole-of-government) yang diterajui JPA melalui kolaborasi strategik pelbagai agensi.

“Penglibatan reruai pameran oleh pelbagai jabatan termasuk JPA, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Open University Malaysia (OUM) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memperkukuh ekosistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih inklusif dan bersepadu.

“Secara keseluruhan, inisiatif ini memperlihatkan komitmen berterusan JPA dalam memacu budaya ilmu, memperkukuh nilai teras serta memastikan perkhidmatan awam kekal relevan, berprestasi tinggi dan berimpak kepada rakyat, ”ujarnya lagi . -SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat