KUALA LUMPUR – Kes penyelewengan dana kira-kira RM230 juta membabitkan urus tadbir dalaman sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bukan melibatkan kepincangan pengurusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan, MAIPs mengagihkan dana itu mengikut prosedur yang sah selepas pembayar zakat mencadangkan NGO terbabit sebagai penerima di bawah kategori asnaf fisabilillah.
Jelas beliau, pihak MAIPs turut melakukan pengauditan setiap tahun terhadap NGO tersebut dan mendapati rekod mereka bersih selama belasan tahun sebelum ini.
“Apabila dana diserahkan kepada pihak yang layak, ia telah menjadi milik mereka. Ibarat kita beri zakat kepada orang miskin, tetapi dia pergi beli rokok. Adakah itu menyebabkan kita (pemberi zakat) boleh dituduh menyalahgunakan zakat?
“Zakat sebenarnya bukan di bawah pejabat Mufti, pejabat Mufti hanya ada kuasa fatwa, manakala urusan pengagihan wang zakat adalah di bawah bidang kuasa MAIPs sepenuhnya,” katanya mengulas isu zakat berkenaan memetik Utusan di Kangar.
Terdahulu, dua individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah NGO direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana kira-kira RM230 juta.
Kedua-duanya berusia 57 dan 61 tahun itu dibenarkan direman bermula hari ini oleh Majistret Ameera Mastura selepas mereka dibawa ke Mahkamah Majistret.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Mohd.Azwan Ramli dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati timbalan NGO itu dipercayai memindahkan RM230 juta ke dalam akaun syarikatnya bagi tujuan pelaburan dan peribadi.
Tiga suspek yang juga dua daripadanya merupakan pengarah syarikat disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu antara 2018 hingga 2024.
Siasatan menjurus kepada elemen penyelewengan dana awam kerana NGO itu sebuah pertubuhan yang menerima sumbangan orang ramai bagi membantu golongan memerlukan.
Berhubung isu komisen yang didakwa diambil oleh pihak pengurusan NGO tersebut, Maza berkata, upah boleh diberikan atas kerja-kerja pentadbiran atau usaha pengurusan dilakukan.
Katanya, NGO tersebut mempunyai rangkaian yang besar dan menggalakkan ramai pembayar zakat ke Perlis.
“Apabila mereka mendapat dana yang dicadangkan oleh pembayar, mereka agihkan kepada sekolah dan aktiviti dakwah. Jika sebahagian wang itu diberikan sebagai upah kepada kumpulan yang bersusah payah membantu menguruskan hal ini, pada pandangan saya mereka layak menerima upah atas kerja yang dilakukan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan bahawa wang zakat tersebut dipindahkan ke akaun syarikat bagi tujuan pelaburan dan kegunaan peribadi.
“Saya sendiri telah memanggil pihak yang ditahan tersebut secara peribadi sebelum ini untuk bertanya apa yang berlaku. Mereka mendakwa wang itu digunakan untuk membina sebuah hospital Islam.
“Namun, memandangkan hospital itu berstatus syarikat dan melibatkan banyak pelaburan di dalamnya, biarlah pihak berkuasa jalankan siasatan lanjut,” katanya.



