KUALA LUMPUR – Golongan berpendapatan tinggi dicadang dikecualikan daripada menikmati subsidi bahan api bagi memastikan bantuan itu dapat disasarkan kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpandangan langkah itu penting memandangkan golongan berkenaan didapati menggunakan subsidi pada kadar lebih besar berbanding kumpulan lain, memetik Sinar Harian.
“Sekiranya subsidi berkenaan dimansuhkan untuk T5 dan T10, penjimatan itu boleh dialihkan kepada golongan B40 dan M40.
“Saya kira kerajaan akan mempunyai lebihan dana untuk mengekalkan harga RM1.99 seliter.
“Sebab itu saya selalu katakan mungkin dalam keadaan semasa perlu ada satu semakan semula belanjawan,” katanya dalam forum meja bulat bertajuk Krisis Tenaga dan Kelestarian Subsidi: Apa Nasib Rakyat Marhaen.
Terdahulu, krisis Asia Barat melibatkan perang Amerika Syarikat-Israel dengan Iran serta sekatan di Selat Hormuz meninggalkan impak besar kepada ekonomi negara.
Penerusan subsidi bahan api melalui BUDI95 dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) menelan kos tinggi sehingga RM6 bilion sebulan berbanding RM700 juta sebulan sebelum perang.
Dalam pada itu, Mohd Afzanizam berkata ketika ini rakyat menggunakan MyKad bagi menikmati subsidi di bawah inisiatif BUDI95, yang dilihat sangat efektif dan cekap dari segi pengumpulan maklumat.
Ujarnya, mekanisme tersebut memudahkan kerajaan menjejak penggunaan secara lebih sistematik.
“Apa yang saya dimaklumkan, kerajaan boleh menjejak penggunaannya. Jika cadangan seperti itu dilaksanakan, kita boleh melihat corak penggunaan, namun yang paling penting ialah menilai kelayakan berdasarkan pendapatan,” katanya memetik akhbar itu.
Beliau turut berpandangan kerajaan perlu mencari keseimbangan terbaik dalam pengagihan sumber negara dengan membuat keputusan pemberian subsidi berdasarkan situasi semasa yang bersifat dinamik.
“Sebab kita berada dalam keadaan kejutan. Dalam keadaan semasa ini, kita tidak boleh tidak mempunyai subsidi,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai cadangan parti politik agar kerajaan melaksanakan darurat dengan menangguhkan pilihan raya untuk berdepan krisis Asia Barat, beliau berpandangan langkah tersebut kurang tepat dilaksanakan buat masa ini.
Katanya, krisis berkenaan memberikan dua impak utama iaitu kenaikan harga barang susulan peningkatan harga minyak serta kecukupan bekalan bahan api.
“Bagi saya, jika kita sampai ke tahap bekalan minyak tidak mencukupi, itu yang boleh mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan.
“Saya rasa keperluan untuk mengisytiharkan darurat dalam konteks masa ini mungkin kurang tepat untuk dilaksanakan. Namun, isu kecukupan bahan api itu penting dan bekerja dari rumah (BDR) sangat tepat dalam konteks ini,” katanya.



