KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi mengingatkan Datuk Seri Rafizi Ramli supaya tidak mendabik dada kononnya beliau jaguh anti rasuah dan pakar cara betul buat demonstrasi.
Sebaliknya kata Puad, cara yang betul ialah Rafizi perlu disiasat terlebih dulu.
“Jangan alihkan isu rasuah kerana permusuhan kamu dengan Azam Baki sahaja. Cermin juga diri kamu.
“Rafizi juga tidak boleh menyempitkan definisi rasuah. Ketiadaan duit bilion ringgit masuk ke akaun peribadinya bukan bermakna rasuah tidak wujud,” bidas Puad.
Adun Rengit itu berkata demikian susulan Rafizi akan menganjur perhimpunan anti rasuah pada 25 April ini.
“Semoga itu tidak menutup dakwaan bahawa dia tetap terpalit dengan isu rasuah melibatkan projek semikonduktor RM 1.1 bilion di bawah ARM Malaysia.
“Misconduct, salah guna kuasa, beri maklumat tidak tepat kepada kabinet untuk dapat kelulusan termasuk perjanjian berat sebelah juga boleh dikaitkan dengan perbuatan rasuah.
“Oleh itu Rafizi perlu mendedahkan nama dua atau tiga syarikat yang dapat geran daripada syarikat Arm Malaysia?
“Apakah itu syarikat milik Malaysia? Atau syarikat berdaftar di Malaysia tetapi milik asing. Benarkah, syarikat yang baru setahun berdaftar dan tiada track rekod diberi geran tersebut,” dakwa Puad.



