KUALA LUMPUR,– Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad hanya lantang mengkritik lanjutan kontrak Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) selepas kedua-duanya tidak lagi berada dalam kedudukan berkuasa, sindir Aizuddin Abd Gaffal, Setiausaha Politik Kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan.
Menurut Aizuddin, pelanjutan kontrak FWCMS sehingga tahun 2031 telah diluluskan pada 24 Jun 2024 di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri, ketika Rafizi dan Nik Nazmi masih merupakan anggota Kabinet.
Katanya, ketika keputusan itu dibuat, kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan mempunyai akses kepada maklumat, kuasa serta tanggungjawab kolektif sebagai anggota Jemaah Menteri. Justeru, beliau mempersoalkan mengapa perkara yang kini didakwa sebagai kelemahan serius tidak dibangkitkan lebih awal ketika mereka masih berada di meja membuat keputusan.
“Jika benar terdapat kelemahan yang begitu serius seperti yang didakwa hari ini, mengapa suara itu tidak kedengaran ketika mereka berada di meja membuat keputusan? Mengapa hanya sekarang barulah pelbagai isu diketengahkan?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aizuddin berkata, tindakan mengkritik selepas tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan menimbulkan persoalan terhadap konsistensi dan keikhlasan politik kedua-dua pemimpin tersebut. Malah, katanya, keadaan itu mengelirukan rakyat kerana sistem yang diluluskan ketika mereka berada dalam Kabinet kini menjadi sasaran kritikan mereka sendiri.
Beliau turut membangkitkan bahawa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini sudah menyinggung beberapa isu berkaitan pelaksanaan FWCMS serta potensi pertindihan dengan sistem baharu National Integrated Immigration System (NIISe), namun mendakwa tiada bantahan dibuat oleh Rafizi dan Nik Nazmi ketika itu.
Dalam pada itu, Aizuddin menegaskan kerajaan masih komited melaksanakan agenda jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing secara berperingkat, seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13. Namun, katanya, realiti semasa menuntut kerajaan mengambil kira keperluan industri, isu beban hutang pencarian kerja dalam kalangan pekerja asing serta keperluan mewujudkan sistem pengambilan yang lebih telus, adil dan kos efektif.
Beliau juga mendakwa kenyataan Rafizi dan Nik Nazmi mengelirukan rakyat apabila gagal membezakan peranan dan fungsi FWCMS dengan NIISe, yang menurutnya merupakan dua sistem berbeza pada setiap peringkat pelaksanaan.
Menurut Aizuddin, cadangan sistem pengambilan pekerja asing baharu ketika ini masih di peringkat penilaian dan belum ada keputusan muktamad, pelantikan atau komitmen dibuat kepada mana-mana pihak.
Beliau berkata, dasar negara tidak boleh digerakkan oleh emosi dan retorik semata-mata, sebaliknya mesti berasaskan fakta, keperluan ekonomi semasa dan kesejahteraan semua pihak termasuk pekerja, majikan dan negara.



