Kempen Internet Selamat guna pendekatan rakan sebaya perkasa belia hadapi ancaman digital

PAGOH,– Kementerian Komunikasi mempergiat usaha meningkatkan kesedaran keselamatan siber dalam kalangan belia menerusi Kempen Internet Selamat yang menggunakan pendekatan rakan sebaya sebagai medium penyampaian utama.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, pendekatan itu dilihat lebih dekat dan relevan dengan golongan sasaran, sekali gus mampu meningkatkan keberkesanan mesej berkaitan keselamatan dalam talian.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program berkenaan di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh hari ini, yang merupakan inisiatif berterusan kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Seramai 80 pelajar bersama 20 fasilitator Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) daripada beberapa institusi pengajian tinggi menyertai program tersebut, termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia serta Politeknik Tun Syed Nasir.

Kesemua peserta akan berperanan sebagai ejen penyampai mesej keselamatan siber kepada rakan sebaya, khususnya dalam menangani ancaman seperti penipuan digital, buli siber, penyebaran maklumat palsu serta risiko pendedahan data peribadi.

Program itu turut menampilkan pendekatan interaktif, antaranya sketsa bertajuk “Ops Kantoikan Scammer: Aku Bukan Mangsa Kau!” yang memberi pendedahan secara santai mengenai taktik penipuan dalam talian serta langkah pencegahan.

Sehingga 31 Mac lalu, sebanyak 47 program Kempen Internet Selamat telah dilaksanakan di institusi pengajian tinggi seluruh negara dengan penyertaan seramai 23,196 mahasiswa.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah serta Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat