Sembilan Ahli Parlimen PH desak siasatan terhadap kementerian dipimpin Ramanan

KUALA LUMPUR, 20 April – Sembilan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menggesa siasatan dijalankan terhadap pengurusan pengambilan pekerja asing di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) susulan kontroversi cadangan pelaksanaan sistem baharu dikenali sebagai The Universal Recruitment Advanced Platform (TURAP).

Dalam kenyataan media bersama, mereka mempersoalkan pendirian Menteri Sumber Manusia, R. Ramanan yang didakwa mempertahankan rekod Bestinet Sdn Bhd, syarikat yang sebelum ini mengendalikan Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS), walaupun sistem itu telah menerima teguran daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Laporan Ketua Audit Negara 2022.

Menurut kenyataan itu, PAC yang bersidang lapan kali dari Disember 2023 hingga Februari 2025 mendapati FWCMS digunakan selama lebih enam tahun walaupun tiada kontrak ditandatangani antara kerajaan dan Bestinet. PAC juga dilaporkan menemui kelemahan serius dalam kawalan sistem, termasuk kewujudan dua ID super admin yang tidak dipegang pegawai KESUMA serta 24 pengguna tidak sah yang meluluskan permohonan 24 majikan.

Mereka turut merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara 2022 yang mengklasifikasikan keseluruhan pengurusan FWCMS sebagai “tidak memuaskan”, selain menyatakan sistem itu hanya digunakan untuk pengambilan pekerja asing dari Bangladesh walaupun terdapat 15 negara sumber tenaga asing secara keseluruhan. Laporan itu juga membangkitkan isu ketiadaan kontrak dan risiko salah guna sistem.

Kumpulan Ahli Parlimen itu berkata, keputusan kerajaan untuk memuktamadkan perjanjian dengan Bestinet dari 1 Jun 2024 hingga 31 Januari 2031 pada caj RM215 bagi setiap pekerja, berbanding persetujuan asal RM100, dibuat atas pertimbangan mengelakkan tuntutan mahkamah berhubung tempoh enam tahun sebelum perjanjian dimeterai. Mereka juga menegaskan kerajaan sedang merancang pelaksanaan National Integrated Immigration System (NIISe) yang dijangka beroperasi pada 2028.

Sehubungan itu, mereka berpandangan tidak wajar satu lagi sistem baharu seperti TURAP diperkenalkan kerana ia boleh mewujudkan pertindihan dengan NIISe, selain berpotensi memanjangkan apa yang disifatkan sebagai “konsesi monopoli” kepada sebuah syarikat swasta. Mereka menegaskan sebarang sistem baharu, jika benar-benar diperlukan, mesti ditentukan spesifikasinya oleh kerajaan dan melalui tender terbuka.

Dalam kenyataan sama, mereka turut mengingatkan bahawa fokus utama KESUMA sepatutnya tertumpu kepada reformasi pasaran buruh seperti yang digariskan dalam Kajian Separuh Penggal RMK12 dan RMK13, termasuk sasaran menurunkan had maksimum pekerja asing daripada 15 peratus kepada 10 peratus menjelang akhir RMK13.

Antara yang menandatangani kenyataan itu ialah Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim; dan Ahli Parlimen Sungai Siput, Kesavan Subramaniam.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat