Segamat, – Kerajaan meneruskan usaha memperkukuh kualiti liputan rangkaian apabila ujian kelajuan dan prestasi 4G serta 5G dilaksanakan sepanjang laluan Kereta Api Elektrik (ETS) dari KL Sentral ke Segamat, melibatkan beberapa negeri utama di Semenanjung.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sesi pengujian yang diselaraskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu bertujuan menilai prestasi sebenar rangkaian mudah alih di salah satu koridor pengangkutan paling penting negara.
Menurut beliau, ujian tersebut melibatkan kerjasama syarikat telekomunikasi utama termasuk CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications serta Digital Nasional Berhad bagi mendapatkan data masa nyata berkaitan kelajuan muat turun, muat naik dan kestabilan sambungan.
“Ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk memastikan rakyat menikmati liputan komunikasi yang stabil dan berkualiti tinggi, termasuk di sepanjang laluan pengangkutan awam,” katanya.
Ujian yang merentasi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor itu mendapati sekitar 71 peratus kawasan telah dilengkapi dengan liputan 5G, dengan peluasan akan diteruskan secara berperingkat.
Bagaimanapun, beberapa lokasi dikenal pasti mengalami penurunan kualiti liputan dan kelajuan, khususnya di kawasan luar bandar serta jajaran tertentu di Negeri Sembilan, Melaka dan utara Johor. Perkara itu akan ditangani melalui langkah penambahbaikan dan pengoptimuman oleh penyedia perkhidmatan.
MCMC memaklumkan dapatan ujian akan dianalisis secara terperinci bagi mengenal pasti jurang liputan dan merangka tindakan susulan bersama industri.
Dalam tempoh 1 Januari hingga 15 April 2026 sahaja, sebanyak 2,350 auditan telah dijalankan dengan 280 notis pematuhan dikeluarkan kepada penyedia perkhidmatan yang gagal memenuhi standard kualiti di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Seiring itu, orang ramai digalakkan menggunakan aplikasi MCMC NEXUS untuk menguji kelajuan internet dan membantu menyumbang data prestasi rangkaian sebenar tanpa melibatkan maklumat peribadi.



