SEREMBAN, – Empat Undang Luak Negeri Sembilan hari ini mengadakan sidang media khas yang mengumumkan pengisytiharan pemecatan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Dalam sidang media tersebut, mereka turut mengumumkan pelantikan Tunku Dato’ Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tunku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu.
Pengumuman itu dibuat oleh empat Undang Yang Empat iaitu Dato’ Klana Petra Dato’ Mubarak Dohak (Sungai Ujong), Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Maarof Mat Rashad (Jelebu), Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Muhammad Abdullah (Johol) dan Dato’ Lela Maharaja Dato’ Seri Utama Muhammad Shariff Omar (Rembau).
Menurut kenyataan yang dibacakan, keputusan tersebut dibuat berasaskan kuasa adat yang diperuntukkan kepada Undang Yang Empat dalam sistem pemerintahan Negeri Sembilan, termasuk peranan memilih Yang di-Pertuan Besar.
Sidang media itu berlangsung dalam suasana luar biasa susulan krisis dalaman institusi adat negeri, termasuk perkembangan terkini membabitkan Undang Sungai Ujong, Dato’ Klana Petra Dato’ Mubarak Dohak, yang dilaporkan telah diberhentikan daripada jawatannya melalui proses adat beberapa hari lalu.
Pemecatan tersebut dibuat melalui sidang khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang berlangsung di Istana Besar Seri Menanti dan dipengerusikan oleh Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir. Dalam prosiding itu, sebanyak 33 sebab telah dibentangkan sebagai asas pemberhentian, sebelum DKU menasihatkan Luak Sungai Ujong menerima keputusan tersebut selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, khususnya Peraturan 14(3).
Perkembangan ini dilihat sebagai langkah tindak balas empat Undang Luak terhadap keputusan tersebut, sekali gus mencerminkan wujudnya pertikaian serius berkaitan autoriti dan legitimasi dalam struktur kepimpinan adat Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada Undang Yang Empat yang mempunyai peranan memilih Yang di-Pertuan Besar turut mempunyai bidang kuasa untuk memecat baginda, memandangkan proses tersebut lazimnya melibatkan prosedur adat yang lebih luas termasuk peranan Dewan Keadilan dan Undang.
Tiada pengesahan rasmi dikeluarkan oleh pihak Istana Negeri Sembilan atau kerajaan negeri berhubung pengisytiharan tersebut ketika laporan ini ditulis.
Situasi ini berpotensi mencetuskan krisis legitimasi yang belum pernah berlaku dalam sejarah moden Negeri Sembilan sekiranya wujud perbezaan antara pengumuman pihak Undang dengan kedudukan rasmi institusi negeri. – SuaraTV



