PUTRAJAYA, — Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperuntukkan lebih RM220 juta menerusi pakej Modal Usahawan dan Rangsangan Ekonomi India (MUDRA) bagi memperkukuh ekosistem Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta koperasi milik masyarakat India di negara ini.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM60 juta berbanding kira-kira RM160 juta yang disalurkan pada tahun 2025, susulan sambutan positif terhadap skim pembiayaan sebelum ini.
Menurut beliau, inisiatif MUDRA akan dilaksanakan melalui lima agensi di bawah KUSKOP melibatkan pelbagai skim pembiayaan dan pemerkasaan usahawan.
Antara komponen utama ialah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) oleh TEKUN Nasional dengan peruntukan RM120 juta, diikuti Skim Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) sebanyak RM15 juta.
Selain itu, SME Bank menyediakan Skim Pembiayaan Vanigham berjumlah RM50 juta, manakala Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memperuntukkan RM27 juta bagi Dana Program Pemerkasaan Usahawan Wanita India (PENN).
Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pula menyediakan RM11 juta menerusi program Bakti MADANI dan Tabung Modal Pusingan SKM.
Sehingga 31 Mac 2026, sebanyak RM33.48 juta dana telah diluluskan di bawah inisiatif ini, memberi manfaat kepada 1,805 usahawan masyarakat India di seluruh negara.
Steven Sim berkata, MUDRA bukan sekadar bantuan kewangan jangka pendek, sebaliknya merupakan langkah strategik bagi meningkatkan daya saing PMKS masyarakat India dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, khususnya tekanan berkaitan tenaga.
“KUSKOP kekal komited membina ekosistem keusahawanan yang inklusif selari dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.– SuaraTV



