KUALA LUMPUR,— Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO meluluskan pengampunan tanpa syarat kepada seramai 6,252 ahli dan bekas ahli parti, termasuk beberapa tokoh utama yang sebelum ini digantung atau dipecat.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat MKT di Melaka hari ini selaras dengan gagasan “Rumah Bangsa” yang diperkenalkan Presiden parti.
Antara nama berprofil tinggi yang terlibat termasuk bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Turut disenaraikan ialah Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar bersama ribuan bekas pemimpin serta ahli di peringkat bahagian dan cawangan di seluruh negara.
Menurut Asyraf, keputusan itu membolehkan semua yang terlibat kembali ke dalam UMNO tanpa dikenakan sebarang syarat.
“MKT menyokong penuh gagasan Rumah Bangsa untuk menerima kembali mana-mana ahli yang digantung, dipecat atau keluar parti atas apa jua faktor,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam perkembangan sama, MKT turut meluluskan pindaan terhadap Peraturan Keahlian UMNO bagi membolehkan pendaftaran ahli baharu dibuat secara dalam talian, sekali gus memudahkan penyertaan terutama dalam kalangan anak muda.
Mesyuarat itu juga menyentuh isu kos sara hidup dengan menggesa negeri-negeri yang diterajui UMNO seperti Johor, Melaka, Perak dan Pahang supaya mempertingkatkan bantuan kepada golongan yang terkesan akibat kenaikan harga minyak dan inflasi global.
Selain itu, UMNO akan menganjurkan Sambutan 80 Tahun parti bermula 1 hingga 5 Mei depan di World Trade Centre Kuala Lumpur, melibatkan pelbagai program termasuk konvensyen, kongres pendidikan dan karnival keusahawanan. — SuaraTV



