KANGAR, — UMNO Perlis menyifatkan penangguhan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 23 April sebagai satu kegagalan dalam mengurus pentadbiran kerajaan negeri, khususnya ketika Perlis kini dipimpin oleh Menteri Besar baharu.
Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman, berkata sidang DUN tidak seharusnya dianggap sebagai formaliti, sebaliknya merupakan medan penting untuk kerajaan negeri membentangkan pelan pembangunan serta hala tuju pentadbiran kepada rakyat.
Menurut beliau, dalam keadaan semasa yang mencabar termasuk tekanan kos sara hidup dan keresahan rakyat, sidang DUN sepatutnya menjadi platform utama untuk kerajaan menjelaskan dasar serta langkah konkrit yang akan diambil.
“Penangguhan ini menimbulkan persoalan besar mengenai keupayaan kerajaan negeri mengurus tadbir dengan baik, lebih-lebih lagi di bawah kepimpinan baharu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan bahawa sidang DUN lazimnya diadakan dua hingga tiga kali setahun dengan fungsi utama termasuk menggubal undang-undang negeri, meluluskan bajet, melaksanakan semak dan imbang terhadap pentadbiran, serta menjadi saluran suara rakyat.
Sehubungan itu, katanya, kegagalan untuk meneruskan sidang seperti dijadualkan memberi gambaran bahawa kerajaan negeri belum bersedia mengemukakan pelan jelas bagi menangani isu semasa.
Rozabil turut membangkitkan persoalan berhubung pelan ekonomi negeri, langkah membantu golongan petani serta strategi menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan.
“Rakyat menuntut kepimpinan yang jelas visinya, tegas pelaksanaannya dan berani bertanggungjawab, bukan sekadar retorik kosong,” katanya.
Penangguhan sidang itu dilihat berlaku pada saat penting ketika perhatian rakyat tertumpu kepada keupayaan pentadbiran baharu dalam merangka dasar yang mampu memberi impak langsung kepada kesejahteraan negeri. – SuaraTV



