PUTRAJAYA, — Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menegaskan laporan media bertajuk “127.3 hektar Pulau Sebatik kini milik Indonesia” adalah tidak tepat serta tidak selaras dengan rekod rasmi yang telah dipersetujui antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Indonesia.
Menurut beliau, penentuan sempadan darat di Pulau Sebatik adalah berasaskan kepada Boundary Convention 1891 yang menetapkan jajaran sempadan di sepanjang latitud 4°10’ Utara.
Arthur berkata, semakan teknikal bersama Malaysia dan Indonesia pada tahun 1983 mendapati terdapat perbezaan antara jajaran sempadan yang direkodkan di lapangan berbanding dengan perjanjian asal, sebelum kedua-dua negara mencapai penyelesaian selepas rundingan yang mengambil masa selama 35 tahun.
“Kerja siasatan, penandaan dan pengukuran semula telah dilaksanakan secara bersama dari Februari hingga November 2019 menggunakan peralatan moden serta teknologi terkini bagi memastikan jajaran sempadan ditentukan dengan lebih tepat selaras dengan prinsip perjanjian asal,” katanya dalam kenyataan media petang ini.
Beliau menjelaskan, penyelesaian penjajaran semula persempadanan itu dibuat secara berpakej bersama penyelesaian di Sungai Sinapad dan Sungai Sesai, yang menyaksikan Malaysia memperoleh pertambahan wilayah seluas 780 hektar yang sebelum ini berada dalam wilayah Indonesia.
Selain itu, katanya, Malaysia turut memperoleh tambahan lima hektar di Pulau Sebatik, manakala kawasan seluas 123 hektar di pulau berkenaan diselaraskan ke dalam wilayah Indonesia sebagai sebahagian daripada penjajaran semula yang dipersetujui bersama.
Arthur berkata, pemuktamadan jajaran sempadan tersebut dimeterai melalui Memorandum Persefahaman antara Malaysia dan Indonesia pada 18 Februari 2025, sekali gus menandakan pencapaian signifikan hasil rundingan teknikal dan diplomatik yang berlangsung lebih 45 tahun.
“Keseluruhan proses ini dilaksanakan berdasarkan persetujuan bersama antara kedua-dua negara selaras dengan undang-undang antarabangsa serta tidak melibatkan sebarang prinsip pampasan atau pertimbangan untung rugi,” katanya.
Menurut beliau, pemuktamadan jajaran sempadan darat ini memberikan kepastian dari segi perundangan dan pentadbiran, sekali gus membolehkan penyampaian perkhidmatan kerajaan, pengurusan keselamatan, perancangan pembangunan serta pengurusan tanah dan sumber dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan.
Sehubungan itu, Arthur menggesa pihak media supaya mendapatkan pengesahan daripada sumber berautoriti sebelum menyiarkan laporan berkaitan isu sempadan negara bagi memastikan ketepatan serta mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.



