KOTA KINABALU, 17 April — UMNO Sabah menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan menyerahkan pelaksanaan projek bekalan air bernilai kira-kira RM4.06 bilion kepada kerajaan negeri, menyifatkannya sebagai langkah strategik yang memperkukuh peranan Sabah dalam pembangunan.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah, Samasuddin Yusop berkata, pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi itu melibatkan sebanyak 83 projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) yang diyakini mampu mempercepatkan penyelesaian isu bekalan air di negeri berkenaan.
Menurut beliau, masalah bekalan air di Sabah bukan sekadar isu teknikal, sebaliknya turut melibatkan cabaran struktur serta faktor geografi yang unik, khususnya di kawasan luar bandar.
“Penyerahan kuasa pelaksanaan kepada kerajaan negeri adalah langkah tepat kerana ia membolehkan keputusan dibuat dengan lebih pantas, bersasar dan selari dengan realiti serta keperluan sebenar di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, langkah itu juga selaras dengan semangat Malaysia Agreement 1963 yang menekankan kepentingan autonomi Sabah dalam mengurus hal ehwal pembangunan, khususnya berkaitan kemudahan asas dan kesejahteraan rakyat.
Samasuddin turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas pendekatan yang menunjukkan kepercayaan terhadap keupayaan kerajaan negeri melaksanakan projek berskala besar dan kritikal.
“Fokus utama selepas ini adalah memastikan setiap projek dilaksanakan dengan cekap, telus dan berintegriti agar manfaatnya dapat dirasai rakyat tanpa sebarang kelewatan atau ketirisan,” katanya.
Tambah beliau, UMNO Sabah komited untuk terus memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam memastikan agenda pembangunan negeri berjalan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat serta masa depan Sabah yang lebih mampan.



