KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) bukan hak mutlak Parti Bersatu untuk menentukan keahlian gabungan itu kerana sebarang keputusan perlu dibuat secara musyawarah bersama semua parti komponen.
Bekas Ketua Bahagian Bersatu Ipoh Timor Muhammad Fadhli Ismail berkata, sebarang keputusan berkaitan kemasukan parti baharu ke dalam PN tidak boleh ditentukan secara unilateral tanpa mengambil kira pandangan rakan komponen lain termasuk Pas.
Menurutnya, kenyataan Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menolak kemungkinan penyertaan parti baharu dipimpin Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin ke dalam PN adalah tidak berasas.
“Penolakan tersebut hanya bersandarkan kepada pertemuan Hamzah dengan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang disifatkan sebagai remeh dan tidak wajar dijadikan alasan.
“Hamzah merupakan tokoh berjiwa besar serta konsisten memperjuangkan agenda agama, bangsa dan negara selain dilihat sebagai ikon penyatuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis lapor Sinar Harian di Ipoh.
Fadhli berkata, kenyataan Ahmad Faizal itu juga memberi gambaran seolah-olah Umno kini dianggap sebagai musuh utama Bersatu sekali gus boleh menjejaskan usaha penyatuan ummah.
Menurutnya, pendekatan sedemikian berpotensi menggagalkan usaha penyatuan bukan sahaja di Perak malah di peringkat nasional terutama apabila ia datang daripada individu yang didakwa kurang peka terhadap landskap politik semasa.
Dalam pada itu, beliau menegaskan isu sumpah atau bai’ah tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mempertahankan pendirian tetapi keutamaan perlu diberikan kepada integriti serta kelayakan moral seseorang pemimpin.
Fadhli juga menasihati Ahmad Faizal supaya tidak mengutamakan kepentingan peribadi sehingga menjejaskan matlamat penyatuan ummah sebaliknya kembali kepada prinsip perjuangan asal parti.
Pada 15 April, media melaporkan Bersatu mengakui sukar menerima parti baharu pimpinan Hamzah untuk menyertai gabungan PN.
Dalam laporan itu, Ahmad Faizal berkata, perkara itu berpunca daripada pendirian Hamzah yang sebelum ini menjalinkan kerjasama dengan pihak lawan tanpa memaklumkan kepada kepimpinan parti.



