CYBERJAYA – Kerajaan menafikan dakwaan bahawa golongan pesawah diabaikan susulan kenaikan kos pertanian akibat krisis tenaga global, sebaliknya menegaskan pelbagai langkah sedang dan akan dilaksanakan secara berperingkat.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, peningkatan harga bahan api dunia telah memberi kesan besar kepada kos operasi sektor pertanian, termasuk harga baja, racun serta perkhidmatan membajak.
Menurut beliau, situasi tersebut bukan sahaja membebankan pesawah, malah turut memberi tekanan besar kepada kewangan kerajaan apabila subsidi bahan api meningkat secara mendadak.
“Dalam tempoh sebulan sahaja, subsidi melonjak daripada sekitar RM700 juta kepada RM6 bilion, iaitu peningkatan hampir sembilan kali ganda,” katanya.
Dalam masa sama, kerajaan perlu mengambil kira keperluan lebih 30 juta rakyat Malaysia dan bukan hanya tertumpu kepada kira-kira 200,000 pesawah, menjadikan penyaluran bantuan sebagai satu cabaran besar.
Beliau menjelaskan, pelbagai cadangan bantuan sedang diteliti termasuk penggunaan kad bahan api (fleet card) untuk jentera pertanian, peningkatan insentif pembajakan dan penuaian padi, serta bantuan khas kepada pekebun kecil.
Bagaimanapun, pelaksanaan langkah tersebut memerlukan pertimbangan teliti kerana melibatkan komitmen kewangan yang tinggi.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut meluluskan tambahan lebih RM100 juta bagi meningkatkan stok penimbal beras sebagai langkah memastikan bekalan makanan asas negara kekal stabil.
Mengulas lanjut, Mohamad Sabu menegaskan bahawa subsektor padi dan beras terus menjadi keutamaan, dengan peruntukan sebanyak RM2.62 bilion disediakan dalam Belanjawan 2026 — merangkumi subsidi harga padi, baja, benih sah serta pelbagai insentif pengeluaran.
Namun, beliau mengakui cabaran sebenar terletak pada kelemahan struktur industri pertanian yang memerlukan pembaharuan menyeluruh, termasuk penggunaan teknologi moden, pengurusan berskala besar dan sistem pengairan lebih cekap.
“Bantuan sahaja tidak mencukupi jika struktur industri tidak diperbaiki,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan memberi jaminan bahawa keutamaan utama ketika ini adalah memastikan bekalan makanan asas seperti beras, ayam, telur dan sayur-sayuran terus mencukupi untuk rakyat walaupun dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi.



