KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan untuk memberi diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena Aidilfitri bagi mengurangkan kos perjalanan rakyat pulang ke kampung halaman.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif ini melibatkan tanggungan kewangan berjumlah RM21.03 juta bagi tujuan pampasan kepada syarikat
konsesi tol.
“Diskaun ini akan berkuat kuasa mulai jam 12.01 tengah malam pada 18 Mac 2026 (Rabu) hingga jam 11.59 malam 19 Mac 2026 (Khamis), melibatkan
kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya, kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia Singapura (LINKEDUA),” umum Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam kenyataan pada Selasa.
Selain itu, Anwar turut memaklumkan, Kerajaan Madani menerusi Jabatan Insolvensi Malaysia juga akan melaksanakan ikhtiar pelepasan kebankrapan secara Fast Track.
“Justeru bersempena Aidilfitri, sekitar 4,000 individu, khususnya ibu dan bapa tunggalakan dibebaskan daripada belenggu kebankrapan.
“Semua langkah ini adalah manifestasi nilai ihsan dan kemanusiaan yang menjadi teras Kerajaan Madani dalam memastikan rakyat terus menikmati manfaat daripada kemakmuran yang kita usahakan bersama.
“Pada masa sama, saya ingin mengulangi seruan agar rakyat terus berbelanja secara berhemah sepanjang meraikan Syawal. Dalam keadaan ekonomi dunia
yang masih tidak menentu, semua pihak perlu mengurus kewangan secara berdisiplin sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan pada masa
hadapan,” nasihat Perdana Menteri lagi.
Tatkala ekonomi dunia terus berdepan ketidaktentuan Anwar berkata, Kerajaan Madani mengambil pendirian tegas untuk terus melindungi kebajikan rakyat, khususnya sepanjang Ramadan dan persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Beberapa langkah telah dilaksanakan untuk meringankan beban rakyat dan memastikan persiapan berjalan dengan baik, antaranya – pemberian cuti tambahan Aidilfitri; pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan dari 14 hingga 28 Mac 2026; Bayaran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 pada 10 Mac
2026 kepada 5.2 juta penerima melibatkan RM1.3 bilion dan Penyaluran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam, pesara dan veteran, termasuk sumbangan khas kepada lebih 70,000 imam, bilal, tok siak, noja, marbut serta guru Kafa dan takmir.
“Bukan cuma itu, Peluasan subsidi tiket penerbangan FLYsiswa bernilai RM400 kepada pelbagai institusi pengajian tinggi; Pelaksanaan hampir 1,900 Program Jualan Rahmah Madani sepanjang Ramadan bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga berpatutan dan juga larangan penjualan minyak masak paket bersubsidi kepada warga asing bagi memastikan subsidi hanya dinikmati rakyat Malaysia sebagai sebahagian daripada keseluruhan ikhtiar.
“Mewakili seluruh jentera Kerajaan Madani saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Semoga Aidilfitri disambut dalam suasana aman dan penuh kesyukuran bersama keluarga serta insan tersayang,” ucap Anwar.



