KUALA LUMPUR – Impian skuad Harimau Malaya untuk melangkah ke Piala Asia 2027 berkecai selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan pemotongan mata susulan isu menurunkan pemain tidak layak dalam aksi kelayakan sebelum ini.
Perkara itu diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mengesahkan sudah menerima keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC yang bersidang pada Selasa.
FAM dalam kenyataan memaklumkan, mesyuarat yang dipengerusikan Jahangir Baglari mendapati FAM melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC kerana menurunkan pemain tidak layak dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027.
Dua aksi terbabit adalah pertemuan menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 25 Mac 2025 yang menyaksikan Malaysia menang 2-0, serta kemenangan 4-0 ke atas Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun 2025.
Bagaimanapun, keputusan itu dibatalkan apabila AFC memutuskan Malaysia dianggap tewas 3-0 bagi kedua-dua perlawanan berkenaan mengikut Artikel 25.1 kod sama.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan skuad kebangsaan kehilangan enam mata penting dalam kempen kelayakan, sekali gus menutup hampir sepenuhnya peluang untuk layak ke Piala Asia 2027.
Selain itu, FAM turut dikenakan denda sebanyak AS$50,000 (RM196,119) atas kesalahan berkenaan.
Dalam pada itu, FAM memaklumkan akan mengemukakan permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan penuh keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC sebelum mempertimbangkan tindakan lanjut.
Kemelut berkenaan dijangka memberi tamparan hebat kepada bola sepak negara, terutama ketika usaha memperkukuh semula reputasi skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa sedang giat dijalankan.



