Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong telah menyantuni 535 warga kerja kementerian dan mengedarkan kurma sempena bulan Ramadan di Blok E4/5, Kompleks Kerajaan Parcel E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, dekat sini baru-baru ini.
Steven Sim turut meluangkan masa turun ke setiap aras bangunan kementerian untuk beramah mesra serta bertanyakan khabar warga KUSKOP, sekali gus mengeratkan silaturrahim dan memupuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan warga kementerian.
KUSKOP dalam kenyataan berkata sesi ini juga memberi peluang kepada warga kementerian untuk berinteraksi secara langsung dengan Menteri serta berkongsi pandangan mengenai tugasan dan persekitaran kerja, di samping menghargai usaha dan komitmen warga KUSKOP.
Steven Sim turut meninjau pusat panggilan kementerian bagi menyantuni serta
memberi semangat kepada petugas barisan hadapan yang bertugas melayani pertanyaan orang ramai setiap hari.
“Agihan kurma kepada warga kementerian merupakan tradisi beliau setiap kali
menjelang Ramadan.
“Kurma yang diedarkan pada tahun ini berasal dari wilayah Nablus, Palestin yang dibeli dari sebuah kedai kecil yang beroperasi di Malaysia, iaitu Pasar Palestin, yang diusahakan oleh komuniti Palestin yang menetap di negara ini.
“Steven Sim telah mula menyokong perniagaan tersebut sejak tahun 2019, dan inisiatif kecil ini mencerminkan semangat kemanusiaan dan kebersamaan yang sentiasa menjadi pegangan beliau khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan, ”kata kenyataan itu.
Katanya, dengan semangat Ramadan yang menekankan nilai berkongsi dan empati, KUSKOP akan terus komited memperkukuh ekosistem keusahawanan dan koperasi di Malaysia selaras dengan nilai Ihsan dalam aspirasi Malaysia MADANI.-SUARA.TV



