KOTA SAMARAHAN, – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kenaikan kadar Bantuan Tanam Semula Getah baharu kepada RM23,000 sehektar bagi pekebun kecil di Sarawak sebagai langkah memperkukuh ekonomi luar bandar.
Beliau berkata, kenaikan tersebut melibatkan pertambahan sebanyak RM8,915 sehektar atau sekitar 55 peratus berbanding kadar sebelum ini, sekali gus mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap cabaran sebenar yang dihadapi komuniti pekebun kecil di lapangan.
Menurutnya, bantuan itu akan disalurkan dalam lima fasa meliputi penyediaan kebun, bekalan benih, baja serta input pertanian lain bagi memastikan keberhasilan projek tanam semula getah secara lebih terancang dan mampan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Santunan Kasih Ramadan dan Program Kemakmuran Pekebun Kecil RISDA Negeri Sarawak 2026 di Kampung Niup, di sini hari ini.
Beliau menegaskan sektor getah bukan sekadar sumber pendapatan, malah merupakan warisan kehidupan masyarakat desa yang telah sekian lama menjadi sandaran rezeki keluarga di luar bandar. Namun, katanya, golongan pekebun kecil kini berdepan peningkatan kos pembangunan kebun, penyelenggaraan ladang serta cabaran menarik minat generasi muda untuk menceburi sektor berkenaan.
Sehubungan itu, kerajaan mengambil pendekatan lebih realistik dengan memperkukuh sokongan kewangan dan pembangunan kapasiti bagi memastikan komuniti pekebun kecil terus berdaya tahan serta mampu meningkatkan nilai tambah hasil pertanian mereka.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa kadar bantuan tanam semula getah bagi Semenanjung Malaysia dan Sabah akan diumumkan dalam masa terdekat bagi memastikan peluang yang saksama kepada semua pekebun kecil di seluruh negara.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk merapatkan jurang pembangunan bandar dan desa melalui pelaksanaan projek prasarana asas termasuk pembinaan jalan kampung, bekalan air dan elektrik serta pembinaan jambatan dan pemasangan lampu jalan.
Katanya, pembangunan desa tidak seharusnya hanya diukur melalui kemudahan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu dilihat pada keupayaan meningkatkan taraf hidup rakyat, memperkukuh daya tahan komuniti serta membuka peluang ekonomi yang lebih luas.
Pada masa sama, beliau mengiktiraf peranan hampir 98,000 pekebun kecil getah di Sarawak sebagai “wira tidak didendang” yang menyumbang kepada kemakmuran negara, sambil memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memastikan kebajikan dan pembangunan komuniti luar bandar kekal menjadi keutamaan dasar negara.
Program berkenaan turut bertujuan mengeratkan hubungan antara kerajaan dan masyarakat desa selain menyemai nilai ihsan serta semangat kebersamaan dalam bulan Ramadan.



