TOKYO- Harga minyak mentah jatuh selepas satu laporan menyatakan bahawa Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mencadangkan pelepasan rizab minyak terbesar dalam sejarah bagi menurunkan harga susulan perang Iran.
Sekitar jam 0040 GMT, harga minyak mentah Brent turun 0.84 peratus kepada AS$87.06 setong, manakala West Texas Intermediate (WTI) susut 1.02 peratus kepada AS$82.60 setong.
Negara-negara dijangka membuat keputusan mengenai cadangan pelepasan rizab itu lewat hari ini, lapor Wall Street Journal, yang memetik pegawai tidak dinamakan.
Terdahulu dalam dagangan Asia, harga WTI melonjak lebih lima peratus selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, meningkatkan ancamannya berkaitan Selat Hormuz, laluan strategik yang secara berkesan telah ditutup oleh Iran, lapor AFP.
Sementara itu, pasaran saham di Asia meningkat dengan indeks Nikkei di Tokyo naik sekitar dua peratus dan Kospi di Korea Selatan melonjak kira-kira 2.5 peratus.



