Kolaborasi Amar Amran bersama Apak Harry KAPAK menerusi “Raya Satu Hati”

Pengasas jenama fesyen Melayu terkenal, Amar Amran, terus mengekalkan tradisi istimewanya setiap kali menjelang Aidilfitri dengan pelancaran lagu tema raya. Selepas kejayaan “Raya Sehati Sedondon” tahun lalu bersama Jamal Abdillah, tahun ini Amar tampil dengan karya baharu berjudul “Raya Satu Hati” berduet bersama komposer dan penyanyi, Apak Harry KAPAK.

Pelancaran lagu ini bersempena meraikan 51 tahun legasi Amar Amran dalam industri busana tradisi Melayu. Lagu ciptaan Apak Harry KAPAK dengan lirik hasil kolaborasi Ajim Maze dan Amar Amran itu diangkat sebagai lagu tema rasmi kempen Raya 2026 jenama berkenaan.

Menurut Amar, “Raya Satu Hati” merupakan karya yang menggabungkan semangat Aidilfitri, nilai kekeluargaan dan identiti gaya busana Melayu dalam satu naskhah muzik yang segar serta dekat di hati masyarakat. Lagu ini menampilkan penceritaan raya yang penuh emosi, daripada gema takbir dan kepulangan ke pangkuan keluarga, momen bermaafan sehinggalah keceriaan bergaya sedondon di pagi Syawal.

Beliau menjelaskan bahawa mesej utama lagu ini adalah perpaduan dan penyatuan jiwa, selari dengan tema besar kempen tahun ini yang menekankan konsep kebersamaan merentasi generasi. Frasa “tak kira apa rupa warnanya” menjadi simbolik bahawa pada hari raya, semua bersatu hati dalam meraikan kemenangan dan kegembiraan bersama.

Antara elemen unik yang diketengahkan termasuk gambaran gaya busana seperti cekak musang merah burgundy simbol gaya klasik yang diberikan nafas moden, mencerminkan pendekatan reka bentuk Amar Amran yang konsisten memartabatkan tradisi dengan sentuhan semasa.

Menariknya, “Raya Satu Hati” bukan sekadar lagu pelengkap kempen. Lagu ini akan menjadi runut bunyi rasmi bagi keseluruhan kempen Raya Satu Hati 2026 yang merangkumi filem pendek raya, pertunjukan fesyen, kandungan digital, aktivasi butik serta siri jelajah promosi di seluruh negara. Pendekatan ini menjadikan muzik sebagai medium naratif yang menghidupkan pengalaman menyeluruh jenama sepanjang musim perayaan.

Sementara itu, Apak Harry KAPAK atau nama sebenarnya Ahmad Sairi Haslan Muhammad Redzwan berkongsi bahawa ini merupakan kali kedua beliau mencipta lagu untuk Amar Amran. Hubungan kerja yang sudah terjalin sebelum ini memudahkan proses kreatif kali ini, malah keseluruhan pembikinan lagu berjaya disiapkan dalam tempoh singkat.

Beliau turut menjelaskan bahawa sebagai komposer, prinsip utamanya adalah menitikberatkan kemampuan vokal penyanyi sebelum membentuk melodi dan susunan muzik. Rakaman lagu bergenre pop etnik tersebut dijalankan di Studio MVM Music dan hanya mengambil masa kira-kira dua jam untuk diselesaikan.

Pelancaran “Raya Satu Hati” turut berjalan seiring dengan pengenalan Koleksi Raya Satu Hati 2026 yang menampilkan lebih 1,000 SKU busana raya untuk seisi keluarga. Koleksi ini menekankan konsep sedondon, pilihan warna berkarakter serta potongan yang meraikan warisan dan keselesaan.

Lagu “Raya Satu Hati” telah dilancarkan di semua platform digital dan saluran media sosial rasmi Amar Amran bermula 20 Februari 2026, sekali gus memperkukuh lagi jenama tersebut sebagai antara pelopor fesyen Melayu yang kreatif dalam menggabungkan elemen muzik dan gaya dalam satu kempen yang menyeluruh.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat