Wan Saiful cabar Tun Faisal namakan Muhyiddin calon Ketua Pembangkang

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan mencabar Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz jika berani untuk menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Ketua Pembangkang.

Atau setidaknya kata beliau, untuk mencalonkan operator utama Bersatu dalam Parlimen hari ini, iaitu Datuk Radzi Jidin.

“Umat Islam marah terhadap pembunuhan Ayatollah Ali Khamenei. Dunia bimbang mengenai pergolakan di kawasan teluk dan timur tengah. Kita juga marah terhadap jenayah negara haram Israel.

“Di dalam negara, kita sedang menangani isu besar mengenai pemisahan kuasa Peguam Negara dan pendakwa raya serta had tempoh jawatan Perdana Menteri. Kita juga sedang berhempas pulas melawan usaha kerajaan mengubah perhatian rakyat dengan sengaja menimbulkan polemik seolah-olah ada usaha mahu menjatuhkan kerajaan secara salah. Dan macam-macam lagi isu besar yang sedang melanda.

“Tetapi fokus Ketua Penerangan Bersatu hanya kepada tuntutan menukar Ketua Pembangkang. Dendam terhadap Datuk Seri Hamzah Zainudin belum habis. Saya harap Tun Faisal teruskan memberi kenyataan sebegitu. Supaya rakyat nampak lebih jelas kualiti sebenar mereka yang tinggal dalam Bersatu.

“Jika tergilakan jawatan Ketua Pembangkang, saya cabar Tun Faisal namakan Muhyiddin Yassin sebagai calon Ketua Pembangkang. Sebelum ini berani sangat nak calonkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Takkanlah pengecut untuk mencalonkan sebagai Ketua Pembangkang?

“Atau paling tidak, sila calonkan operator utama Bersatu dalam parlimen hari ini, iaitu Radzi Jidin,” gesa Wan Saiful.

Katanya, biar satu dunia saksikan adakah calon Bersatu itu boleh dapat lebih dari lima undi di kalangan Ahli Dewan Rakyat?

“Dalam sidang media pada 27 Februari, apabila ditanya berapa orang menyokong Hamzah sebagai Ketua Pembangkang, Tan Sri Presiden Pas berkata “Setahu saya yang sokong Dato Seri Hamzah, campur dengan dia ada 19 orang. Daripada kita 43.” Maksudnya sokongan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang terhadap Hamzah adalah jitu dan hal pertukaran tak berbangkit.

“Sebab itulah saya harap Ahli-Ahli Dewan Rakyat pembangkang terus memberi fokus kepada isu-isu besar yang melanda dunia dan negara. Ini perjuangan sebenar kita, iaitu mengangkat agenda rakyat dan negara.

“Biarkanlah Bersatu terus berusaha memecah belah kesatuan Perikatan Nasional (PN) dengan kritikan berterusan terhadap Pas. Tetapi kita mesti terus berjuang dan mara ke hadapan,” ujarnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat