Rafizi terima surat tunjuk sebab PKR, dakwa parti cuba gugurkan beliau dari Parlimen

KUALA LUMPUR, — Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan bahawa beliau telah menerima surat tunjuk sebab daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang menurutnya berkaitan dakwaan bahawa beliau telah mengisytiharkan keluar daripada parti tersebut.

Dalam satu kenyataan di platform X, Rafizi berkata surat yang dihantar oleh Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh itu mendakwa beliau telah menyatakan hasrat untuk tidak bertanding atas tiket PKR pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), dan ini ditafsirkan sebagai isyarat keluar parti.

Bagaimanapun, Rafizi menegaskan bahawa beliau masih kekal sebagai ahli PKR selagi tidak menghantar surat peletakan jawatan atau menyertai parti lain secara rasmi.

“Selagi saya Ahli Parlimen dan saya tidak menghantar surat keluar dari parti, atau saya tidak mengisytiharkan saya telah menyertai parti lain, maka saya kekal sebagai anggota PKR dan Speaker tidak boleh memecat saya dari Parlimen,” katanya.

Beliau turut mendakwa tindakan PKR menghantar surat tunjuk sebab itu sebagai percubaan untuk menggugurkan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen tanpa melalui proses rasmi seperti ditetapkan di bawah Akta Anti-Lompat Parti.

Rafizi mendakwa PKR mahu beliau sendiri mengisytiharkan keluar parti supaya kerusinya boleh dikosongkan, berbanding parti mengambil tindakan memecatnya secara langsung.

“Dia nak saya isytihar keluar, kemudian Speaker dari PKR isytihar saya bukan lagi Ahli Parlimen,” katanya.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu turut mengkritik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan mendakwa Perdana Menteri itu tidak bertindak secara tegas terhadap pengkritiknya dalam parti.

Menurut Rafizi, berbeza dengan kepimpinan lain, Anwar didakwanya lebih cenderung membiarkan pihak lain mengambil tindakan, berbanding membuat keputusan secara langsung.

Dalam masa sama, Rafizi mempersoalkan asas surat tunjuk sebab yang dihantar oleh PKR, dengan menyifatkan tafsiran bahawa kenyataannya mengenai perancangan masa depan politik sebagai bukti keluar parti sebagai tidak berasas.

Beliau turut membandingkan situasi itu dengan pengumuman Anwar pada 2020 dan 2021 yang mendakwa mempunyai sokongan mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi tidak membawa kesan perundangan sehingga pembentukan kerajaan selepas PRU15.

Rafizi berkata beliau akan memberikan maklum balas rasmi kepada surat tunjuk sebab tersebut dan mempertahankan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat